(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
KUALA LUMPUR: Rangka tindakan baharu bagi industri kewangan yang sedang dirangka kerajaan dijangka mampu merealisasikan wawasan negara untuk mencapai status ekonomi maju menjelang 2020.
Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2009, berkata rangka tindakan baru itu bakal meningkatkan peranan industri itu sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi, dan seterusnya menyumbang secara berkesan kepada proses transformasi itu.
"Bagi merealisasikan wawasan negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, sektor kewangan mempunyai peranan penting bagi menyokong peralihan tersebut. "Rangka tindakan baru ini akan menjadi penggerak, pemacu dan pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan keupayaan yang dipertingkatkan untuk menyumbang secara berkesan kepada proses transformasi negara" kata BNM.
Rangka tindakan baru, menurut BNM, akan menjadikan industri itu lebih berdaya saing, dinamik, inklusif serta mampu memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
Ia juga dijangka mampu mengambil kesempatan terhadap setiap perubahan yang berlaku dalam industri itu seperti daya perubahan demografi, ciri-ciri dan keperluan kewangan isi rumah dan perniagaan serta landskap kawal selia.
Antara perubahan lain termasuklah integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih mendalam serta kemajuan terkini dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
Menurut laporan itu, walaupun ekonomi global kian pulih, namun persekitaran luaran dijangka kekal tidak menentu, dan dengan adanya langkah penstabilan yang dilaksanakan sejak tahun lalu, sektor kewangan negara diramal akan terus kekal berdaya tahan.
Bagi mengukuhkan lagi industri kewangan negara, BNM berkata, satu kajian semula juga sedang dijalankan terhadap perundangan sedia ada yang mengawal selia institusi dan pengantara kewangan.
"Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang baharu mengukuhkan lagi mandat bank untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan dan penambahbaikan kepada perundangan yang disyorkan itu akan memperjelaskan lagi kuasa bank.
"Ia juga menyokong rejim kawal selia dan penyeliaan yang berbeza yang dapat mencapai mandat yang diberikan kepada bank dengan sebaik mungkin, termasuk menggalakkan sebuah sektor yang sihat, progresif dan inklusif," katanya.
Kajian semula itu juga akan memperkukuh penekanan yang diberikan kepada pengawasan lembaga pengarah yang berkesan dan struktur serta proses tadbir urus yang kukuh kerana lebih fleksibiliti diberikan kepada institusi yang diurus dengan baik. - Bernama
Label:
Malaysiaku
Rabu, 24 Mac 2010
bharian: Rangka tindakan baru industri kewangan mampu realisasi transformasi ekonomi negara: BNM
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Rabu, Mac 24, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan