(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/11)
KUALA TEREANGGANU: Pasar tani yang diuruskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di negeri ini berjaya mencatat jualan berjumlah RM16.2 juta dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu, sekali gus membuktikan kegiatan itu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat setempat berbelanja keperluan harian.
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Fama Terengganu, Shahlan Kusaseh, berkata antara pasar tani yang mencatat jualan tinggi ialah di Padang Hiliran dengan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus kepada RM4.7 juta dalam tempoh sama berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah jualan yang dicatatkan sangat memberangsangkan dan Fama akan terus mencari kaedah memastikan pasar tani terus mendapat perhatian dan kunjungan masyarakat. "Antara langkah yang diambil termasuk memastikan semua peniaga mengekalkan kualiti produk jualan mereka menerusi produk segar dan bersih, yang menjadi ciri utama dan tarikan pengguna selama ini.
"Jadi, bagi memastikan nilai jualan terus ditingkatkan, Fama Terengganu akan membuka enam lagi pasar tani baru di negeri ini membabitkan 180 peniaga baru di Lorong Budiman, Kuala Terengganu; Kuala Telemong, Bukit Payong, Pulau Serai, Manir dan Gong Badak," katanya selepas menyertai lawatan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, baru-baru ini.
Shahlan berkata, setakat ini, 10 pasar tani beroperasi di negeri ini, manakala enam lagi tapak berkenaan dijangka memulakan operasi tidak lama lagi dengan setiap tapak memberi peluang niaga kepada antara 30 hingga 50 peniaga baru.
Beliau berkata, semua pasar tani berkenaan membabitkan peniaga baru di kalangan pelbagai kumpulan iaitu petani, nelayan, penternak serta pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Mengulas lanjut, beliau memberi contoh pasar tani di Padang Hiliran yang mendapat sambutan hangat orang ramai kerana menjual bahan makanan segar tanpa pengawet tiruan serta ubat tradisional herba dan akar kayu tempatan yang tidak memberi kesan sampingan kepada penggunanya.
“Fama akan membawa 180 peniaga menyertai kursus tidak lama lagi bagi memberi pendedahan dan latihan kepada mereka menawarkan barangan dikehendaki pelanggan.
"Mereka akan menyertai 530 pengusaha pasar tani sedia ada di negeri ini untuk menawarkan produk bermutu dan segar kepada pengguna, sekali gus meningkatkan populariti pasar tani sebagai pusat tumpuan pengguna membeli barang keperluan harian," katanya.
Label:
Terengganuku
Jumaat, 12 Mac 2010
Timur: Pasar tani catat jualan menggalakkan
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Jumaat, Mac 12, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan