(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/12)
Telaga minyak mesti dalam kawasan tiga batu nautika jika mahu tuntut royalti
KUALA LUMPUR: Kelantan tidak layak dalam tuntutan royalti minyak di luar perairan negeri itu kerana Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 masih berkuat kuasa, kata seorang pengamal undang-undang.
Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, peruntukan 7 ordinan itu menetapkan sempadan negeri iaitu bumi negeri serta perairan wilayah negeri berkenaan sejauh tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut.
Namun dua telaga minyak dipertikai Kelantan terletak di luar ‘kawasan’ itu. “Setahu saya Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 itu masih kekal dan belum dimansuhkan kerajaan. Malah ada ordinan yang digubal pada ketika itu, seperti ESCAR (Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan) 1975), masih digunakan,” katanya kepada Bernama, semalam.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub yang menyokong pendirian Kerajaan Pusat bahawa kerajaan negeri tidak berhak menuntut royalti minyak kecuali ia dapat membuktikan perairan wilayah negeri itu melebihi tiga batu nautika.
Hafarizam berkata, ESCAR yang digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi, membuktikan peruntukan yang digubal ketika itu masih belum dimansuhkan.
“Keadaan adalah sebaliknya jika Kerajaan Negeri Kelantan dapat membuktikan secara dokumen bahawa peruntukan itu (Ordinan Darurat) sudah dimansuhkan mengikut nas-nas undang-undang,” kata Hafarizam.
Sebelum ini, Kelantan bertegas menuntut bayaran royalti berbilion ringgit, namun negeri itu didapati tidak layak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dua telaga minyak dipertikai itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan di Teluk Siam, Laut China Selatan, yang dibangunkan secara bersama Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) sejak 1979.
Selain peruntukan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, Artikel 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pula menyebut, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika. – Bernama
Label:
Malaysiaku
Jumaat, 12 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan