Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/21)
Kabinet setuju usaha selaras pelaksanaan MBMMBI mulai tahun depan
KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) ditambah di sekolah rendah dan menengah selaras dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata waktu bagi Bahasa Melayu ditambah daripada 270 minit kepada 330 minit seminggu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT), manakala untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dikekalkan kepada 240 minit seminggu.
Katanya, masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ditambah daripada 240 minit kepada 330 minit di SK dan Sekolah Menengah manakala di SJKC/SJKT ditambah daripada 60 minit ke 120 minit seminggu. “Namun waktu persekolahan tidak dipanjangkan, tetapi diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan berkenaan,” katanya selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Dasar MBMMBI diperkenalkan kerajaan berikutan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyarankan lebih banyak badan korporat menderma buku kepada perpustakaan sekolah.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyarankan PBAKL diangkat sebagai pusat perdagangan industri buku, sekurang-kurangnya bagi rantau Asia dalam jangka masa 10 tahun akan datang dengan menjadikan Pesta Buku Frankfurt yang disertai hampir 10,000 penggiat industri buku seluruh dunia sebagai penanda aras.
“Saya yakin ia dapat dicapai kerana nilai dagangan PBAKL 2009 mencecah RM20 juta dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia perlu bersedia menjadi agensi peneraju kepada industri buku bagi mencapai hasrat itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pengerusi PBAKL, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pesta kali ini disertai 202 syarikat luar dan dalam negara dengan 856 gerai.
Muhyiddin turut melancarkan buku Najib: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan tulisan Aizuddin Muhammad Muaz yang memaparkan perjalanan Datuk Seri Najib Razak dalam politik.
Label:
Malaysiaku
Ahad, 21 Mac 2010
bharian: Masa belajar BM, BI ditambah
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Ahad, Mac 21, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan