(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/25)
KUALA TERENGGANU: Musim mencandat sotong kini tiba lagi. Sepanjang malam setiap akhir Mac hingga Julai, boleh dikatakan di sepanjang 244 kilometer perairan negeri ini berpesta dengan kerlipan lampu kalimantang yang dipasang saban malam.
Bagi menambah kemeriahan kegiatan yang sudah berakar umbi di negeri ini sejak zaman berzaman itu, candat sotong kini menjadi satu sirkit kejohanan menerusi program Fiesta Bulan Candat Sotong supaya penganjurannya lebih dirasai.
“Kini, Fiesta Bulan Candat Sotong diperluaskan membabitkan empat daerah iaitu bermula di Marang, Besut, Kuala Terengganu dan berakhir di Dungun, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib. Beliau berkata, fiesta itu boleh menjadi satu daripada tarikan khusus yang unik dan istimewa bagi pelancong, selain dapat merakyatkan program yang dianjurkan di sepanjang perairan terutama di beberapa pulau di seluruh negeri ini.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Fiesta Bulan Candat Sotong 2010 dan Sirkit TM Cabaran Candat Sotong 2010 di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengurus Besar TM negeri, Azhar Omar; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia negeri, Ahmad Fathil Abd Ghani dan Pengerusi Persatuan Pelancongan negeri, Wan Mohd Ariffin Wan Long.
Sirkit candat sotong yang diperkenalkan itu dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu manakala Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja utama.
Sebanyak 700 peserta dan 70 bot digunakan untuk memeriahkan sirkit mencandat kali kedua yang berlangsung tahun ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM227,000 dengan setiap sirkit menawarkan hadiah wang tunai berjumlah kira-kira RM33,000 untuk dimenangi.
Bagi Md Sopian Yusof, 48, yang mewakili Pejabat Daerah Besut, dia mengharapkan pengalaman kali pertama menyertai aktiviti mencandat sotong ini dapat mencernakan suatu memori yang sukar dilupakan.
"Saya sangat teruja dan begitu berkobar-kobar untuk memenangi pertandingan ini, walaupun tiada pengalaman tetapi bersama 11 rakan lain, kami yakin untuk memberi saingan hebat.
Peserta lain, Abdul Kadir Abdullah, 42, berkata dia yang selalu pergi mencandat, akan menggunakan pengalaman yang ada untuk memenangi sirkit ini yang nampak lebih meriah daripada tahun lalu," katanya.
"Tahun ini akan lebih meriah dengan pembabitan empat daerah berbanding tahun lalu hanya tiga. Saya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu rakan yang lain memenangi kejuaraan ini yang menjanjikan hadiah begitu lumayan untuk setiap sirkit," katanya.
Label:
Terengganuku
0 ulasan:
Catat Ulasan