(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
PASANGAN suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga harus saling bertolak ansur bagi mengelakkan perceraian berlaku. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa perlu cari mekanisme pencegahan khusus elak kes perceraian terus meningkat
JUMAAT hingga Ahad lalu, selama tiga hari bertempat di Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, saya berpeluang mengikuti satu program motivasi kepemimpinan yang dikendalikan sebuah syarikat terkenal dari Jakarta, Indonesia.
Saya tertarik dengan pengisian dalam program ini, dan peserta didedahkan dengan konsep tauhid dan kecintaan terhadap Allah, mengenai asal kejadian alam semesta, asal kejadian manusia, kecintaan terhadap Rasulullah SAW, kecintaan terhadap Nabi ‘ulu al-azmi, peringatan terhadap kematian dan lain-lain. Suatu perkara yang ilmiah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, tetapi dipersembahkan secara kontemporari dan berbeza dengan kecanggihan audio, visual, gabungan paparan sains dan teknologi, serta mengaitkannya dengan keyakinan kepada Allah SWT.
Program ini mensinergikan kekuatan IQ (Intelectual Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) bagi melahirkan manusia cemerlang yang memiliki kekuatan karakter dan membawa perubahan drastik yang positif, melahirkan insan yang dapat memberikan manfaat ke arah pembangunan negara, meletakkan nilai murni keagamaan dan usaha pembentukan ummah di seluruh dunia.
Saya bukan ingin menceritakan mengenai program itu, tetapi setelah menyertainya, saya terpanggil untuk melihat statistik perceraian dan permohonan murtad mutakhir ini. Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu, kadar perceraian meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Jumlah perceraian pada 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Di setiap negeri, dilaporkan perceraian paling tinggi didaftarkan di negeri Selangor dengan 3,722 kes, diikuti Kelantan (2,257 kes), Kedah (2,188), Johor (1,931), Perak (1,551), Terengganu (1,537), Pahang (1,502), Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37).
Berbanding dengan perkahwinan, jumlah yang tertinggi pada 2007 dicatatkan oleh negeri Kedah sebanyak 20,889 diikuti Kelantan (17,201), Selangor (14,817), Johor (13,241), Perak (11,446), Sabah (9,941), Pahang (9,519), Terengganu (8,953), Sarawak (5,393), Negeri Sembilan (5,151), Pulau Pinang (4,458), Melaka (3,559), Kuala Lumpur (3,538), Perlis (2,484) dan Labuan (486).
Secara ironinya, dalam sehari lebih 56 perceraian berlaku dan 359 perkahwinan berlangsung. Kadar perceraian ini meningkat dari tahun ke tahun sejak 2001, iaitu sebanyak 13,187 (2001), 13,841 (2002), 15,543 (2003), 16,509 (2004), 17,708 (2005) dan 2006 sebanyak 21,419.
Punca krisis rumah tangga yang dikenal pasti adalah kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, suami isteri bermain kayu tiga, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, simptom cemburu buta, kurangnya didikan moral, penderaan dan pengabaian.
Saya percaya, sudah sampai masanya pihak berkuasa memikirkan suatu mekanisme pencegahan khusus kepada pasangan yang hendak bercerai, sama ada yang baru membuat laporan kaunseling di jabatan agama Islam atau yang sudah mendaftarkan kes perceraian di mahkamah dan mereka diarahkan mengikuti suatu kursus yang khusus dalam tempoh tertentu, agar bahtera rumah tangga yang mula terumbang-ambing itu boleh diselamatkan.
Halangan dari sudut perundangan mungkin ada, namun saya percaya, ada jalan keluar untuk merealisasikan perkara ini. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya adalah di tangan yang Esa, namun Islam tidak menyuruh penganutnya menyerah mudah kepada takdir tanpa sebarang usaha.
Punca perceraian boleh dijadikan tanda aras dalam menentukan modul yang sesuai. Gabungan kekuatan intelektual (IQ) dan emosi (EQ) harus diterapkan, seperti mengenai persiapan, persediaan dan ilmu pasangan dalam menghayati alam rumah tangga, niat dan tujuan berumahtangga.
Yang paling penting penekanan kekuatan spiritual (SQ) dengan meletakkan nilai keagamaan, kecintaan terhadap Allah SWT dan reda-Nya sebagai tonggak utama dalam sesebuah perkahwinan, lebih penting berbanding nilai material atau kepentingan diri.
Seiring dengan pertambahan kadar perceraian, statistik permohonan murtad di Mahkamah Syariah juga menunjukkan trend peningkatan yang tinggi pada 2004 hingga 2006. Ia meningkat setiap tahun, di Selangor sahaja, menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, ada 27 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak 2007 manakala meningkat kepada 42 kes pada 2008.
Pengaruh rakan sebaya, masalah dalam perkahwinan terutama di kalangan mualaf dan tekanan hidup didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada masalah murtad.
Ada juga kes seperti pemohon memang tidak hidup dalam suasana Islam sejak lahir atau dibesarkan dalam keluarga bukan Islam sejak kecil, namun nama yang ada dalam kad pengenalan mereka nama Islam.
Setakat ini, ada unit khas diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling. Isu keluar Islam membabitkan akidah dan pendirian agama seseorang, lebih-lebih lagi jika sejak kecil mereka tidak mengamalkan Islam, ia sukar dan mengambil masa panjang untuk mengubahnya.
Maka, usaha ini perlu diperkasakan lagi dengan mengadakan suatu program khusus untuk mereka yang hendak keluar Islam, dengan membawa mereka menyusuri asal usul kejadian manusia, kejadian alam, siapakah pencipta manusia dan alam semesta, mengenai kebenaran ayat-ayat al-Quran, kerasulan dan kebenaran Nabi Muhammad SAW, ihsan, iman, ibadah dan kepentingannya.
Program ini juga boleh disertai oleh mereka yang baru berjinak dengan Islam dan yang baru memeluk Islam (mualaf). Sering kali kita menggaru kepala atau menongkat dagu apabila melihat statistik perceraian dan murtad yang meningkat tahun demi tahun, tetapi kita gagal mengambil tindakan sebaiknya bagi menghalang peningkatan itu.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di talian 03-2274 1499 atau e-mel ke sekretariatpgsm@yahoo.com
Label:
Agama
0 ulasan:
Catat Ulasan