Sabtu, 27 Mac 2010

bharian: Kelulusan kad kredit dipantau

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/25)

Oleh Azman Zakaria, Magendran Rajagopal dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my

Bank Negara pastikan institusi kewangan patuhi garis panduan: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pengeluaran kad kredit kepada pemohon tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah permohonan diterima oleh institusi pengeluar kad kredit bagi 2009, hanya 2.3 juta permohonan atau 48 peratus daripada jumlah permohonan yang diterima itu, sudah diluluskan. “Ketika mengeluarkan pemeriksaan berkala ke atas pengeluar-pengeluar kad kredit, Bank Negara Malaysia (BNM) juga turut melakukan pemeriksaan ke atas proses penilaian dan pemberian pinjaman kad kredit di institusi-institusi berkenaan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah berhemat," katanya yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis kepada soalan M Manogaran (DAP-Telok Intan) dan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) di Parlimen semalam.



Najib juga berkata, dalam usaha mempromosikan penggunaan pembayaran secara elektronik, BNM menggalakkan penggunaan kad kredit sebagai kaedah pembayaran secara elektronik dan bukannya sebagai sumber kredit yang mudah.

Katanya, BNM sentiasa memantau perkembangan kad kredit di negara ini serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan penggunaan dan pengeluaran kad kredit adalah secara berhemat dan tidak menjurus kepada masalah hutang yang berlebihan.

“BNM sudah mengeluarkan syarat minimum untuk penjualan, pemasaran dan promosi kad kredit bagi memastikan amalan pemasaran kad kredit dilakukan secara berhemat oleh pengeluar kad kredit.
“Garis Panduan Kad Kredit dikeluarkan BNM juga memerlukan institusi pengeluar kad kredit yang membuat rujukan kepada Sistem Maklumat Pusat Rujukan Kredit (CCRIS) iaitu sistem yang mempunyai maklumat kredit peminjam yang komprehensif ketika memproses sebarang permohonan kad kredit untuk menilai kedudukan kewangan si pemohon," katanya.

Katanya, melalui sistem itu bukan semua pelanggan yang ditawarkan kad kredit layak untuk mendapat kad kredit kerana risiko keberhutangan yang berlebihan pemegang kad kredit dapat dinilai dan dikawal dengan teratur.

Beliau berkata, baki tertunggak daripada pemegang kad kredit pada akhir Januari lalu berjumlah RM27.1 bilion, dan daripada jumlah itu sebanyak RM24.7 bilion adalah baki semasa manakala baki tak berbayar berjumlah RM500 juta.

Najib berkata, penggunaan mesin ATM masa kini bukan saja untuk pengeluaran wang tunai, tetapi diperluaskan untuk membuat pembayaran bil, pemindahan dana antara bank, pembayaran untuk permohonan saham secara elektronik dan juga urus niaga tambah nilai MEPS Cash, Touch 'n Go dan nilai prabayar mudah alih.

Katanya, penggunaan mesin ATM sebagai saluran pembayaran secara elektronik iaitu e-pembayaran meningkat sebanyak 11.6 peratus daripada 20.6 juta urus niaga pada 2007 kepada 23 juta urus niaga pada 2009.

Beliau berkata, dalam usaha mempertingkatkan kaedah e-pembayaran, kerajaan menggalakkan penggunaan kad pembayaran seperti debit dan kad kredit berbanding pembayaran secara tunai kerana ia menjimatkan kos.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...