Oleh Johari Ibrahim
(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/12)
Kerajaan bincang dengan pihak berkepentingan sedia Model Ekonomi Baru: PM
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak, berkata Model Ekonomi Baru (MEB) akan diumumkan dalam dua peringkat dan yang pertama bakal dilakukan pada 30 Mac ini.
Perdana Menteri berkata, peringkat kedua MEB pula akan diumumkan pada pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) serta tempoh selepasnya.
"Saya akan membuat pengumuman, tetapi ia akan dilakukan dalam dua peringkat. Peringkat kedua akan menjadi sebahagian daripada RMK-10 dan juga seterusnya bergantung kepada proses. "Ia kerana kita mahu berbincang dengan semua pihak berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan buku laporan tahunan 2009 Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan buku mengenai Garis Panduan Pendaftaran Hartanah di Malaysia, di sini, semalam.
Ilham mengenai MEB itu mula diketengahkan ketika Perdana Menteri membentangkan Bajet 2010 tahun lalu bagi memastikan ekonomi negara lebih baik, terjamin dan hebat pada masa depan termasuk memastikan negara beralih kepada negara berpendapatan tinggi.
Mengenai laporan media berhubung kekhuatiran beberapa pihak mengenai kedudukan Bumiputera dalam MEB kelak, Najib meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan awal sebaliknya menunggu dahulu.
"Tunggulah dulu, jangan membuat kesimpulan awal, saya tidak mahu komen mengenainya (lagi) kerana belum masanya. "I don't want to let the cat out of the bag" (saya tidak mahu mendedahkan sesuatu sebelum masanya)," katanya.
Mengenai Pemudah, Najib berkata pasukan petugas berkenaan akan menumpukan kepada penambahbaikan terhadap lima bidang lagi menjelang bulan depan supaya iklim perniagaan negara terus dipermudahkan.
Beliau berkata, penambahbaikan itu meliputi bidang perolehan kerajaan, undang-undang buruh, penutupan perniagaan, pelesenan dan mempermudahkan perniagaan.
Perdana Menteri juga meminta Pemudah untuk menggandakan usahanya membantu kerajaan dalam agenda transformasi ekonomi negara.
"Tahun 2010 perlu menyaksikan fokus diberikan kepada meningkatkan keberkesanan kerajaan dan proses. Kita perlu memperkasa proses pembuatan keputusan termasuk berkaitan dengan dasar, kelulusan dan kontrak," katanya yang merakamkan rasa puas hatinya terhadap tugas Pemudah selama ini.
Turut hadir Pengerusi Pemudah bagi pihak kerajaan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan pihak swasta, Tan Sri Yong Poh Kon.
Pemudah ditubuhkan pada Februari 2007 sebagai usaha kerajaan memudahkan pelbagai urusan berhubung perniagaan membabitkan gabungan pegawai tinggi kerajaan dan swasta.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Kabinet mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membuat kajian komprehensif terhadap faedah Perkongsian Kerjasama Trans Pasifik (TPP).
Amerika Syarikat (AS) lebih berminat kepada perjanjian perdagangan dalam bentuk pelbagai hala berbanding sehala seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara itu dan Malaysia.
TPP adalah kerjasama membabitkan Brunei, Singapura, Chile, New Zealand, AS, Australia, Peru dan Vietnam.
"Jika TPP memberi faedah kepada Malaysia, Kabinet akan membuat keputusan mengenainya," katanya.
Label:
Malaysiaku
Jumaat, 12 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan