Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my
KUCHING: Pusat panggilan kecemasan untuk orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang kini dilaksanakan di Kuala Lumpur akan dikembangkan ke seluruh negara tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, berkata pusat berkenaan diwujudkan bersama Persatuan Orang Pekak Malaysia dan Mimos Berhad sejak tahun lalu ternyata berkesan membantu OKU berhubung dengan pihak tertentu apabila menghadapi kecemasan.
Sehubungan itu, katanya, keupayaan pusat berkenaan perlu diperluaskan bagi memastikan lebih ramai OKU mendapat manfaat, bukan yang tinggal di Kuala Lumpur saja.
“Menerusi pusat panggilan kecemasan itu, OKU yang cacat pendengaran lebih mudah berhubung dengan pihak hospital atau polis, jika mereka menghadapi masalah kecemasan.
“Pusat panggilan kecemasan itu dikawal individu normal yang mahir serta memahami bahasa isyarat dan mereka bertindak sebagai perantara OKU itu dengan pihak hospital atau polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah, Program Usahawan Internet Sarawak, di Kompleks Pelancongan Sarawak, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam Malaysia, Md Ghani Ibrahim dan Ketua Program Pembangunan Bumiputera MSC, Tunku Azela Tunku Aziz.
Seramai 21 usahawan internet yang mengikuti program anjuran Yayasan Salam Malaysia menerima sijil pada majlis itu.
Fadillah berkata, bagi memastikan hasrat memperluaskan pusat itu menjadi kenyataan, lebih ramai sukarelawan diperlukan khususnya mereka yang mahir menggunakan bahasa isyarat.
Sementara itu, Fadillah menggesa usahawan memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat untuk memperkembangkan perniagaan mereka.
“Jika dulu, mungkin orang luar tidak tahu kewujudan kek lapis Sarawak, tapi sekarang semuanya ada dalam internet dan usahawan perlu memanfaatkan teknologi bagi meluaskan pasaran kek lapis mereka,” katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 07/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Isnin, 8 Mac 2010
bharian: Pusat panggilan kecemasan OKU diperluas
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Isnin, Mac 08, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan