Isnin, 8 Mac 2010

bharian: Kaedah jual petrol kepada warga asing masih dirangka

PEKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini dalam proses menyiapkan kertas kerja berhubung usaha mengawal penjualan petrol kepada warga asing, sebelum dibawa ke Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian mengadakan perbincangan dengan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) bagi mencari jalan terbaik menangani isu itu.

“Kita akan mengemukakan beberapa cadangan baru dalam perbincangan itu sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk tindakan selanjutnya dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

“Malah, MRS tidak hanya melihat dari segi isu penjualan minyak tetapi juga barangan lain yang mendapat subsidi kerajaan bagi memastikan kemudahan itu hanya dinikmati rakyat negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Stesen Minyak Mini (SMM) Smart Koperasi Peserta Felcra Gugusan Sri Makmur Berhad di Kampung Sri Makmur di sini, semalam.

Stesen Minyak Mini Smart diusahakan Koperasi Felcra Sri Makmur dibangunkan dengan konsep empat dalam satu, iaitu sebagai stesen minyak, pusat bayaran bil setempat, kedai serbaneka dan pejabat koperasi. Stesen itu adalah antara 51 SMM di seluruh negara yang dibangunkan oleh Smart Stream Resources Sdn Bhd (SSRSB).

Ismail Sabri berkata syarat yang sedia ada, iaitu hanya mengehadkan pembelian minyak oleh kenderaan asing yang berada pada lingkungan 50 kilometer dari sempadan akan dikekalkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan syarat yang sama akan diperluaskan kepada stesen minyak lain termasuk kepada warga asing.

“Apa yang berlaku sekarang, bukan saja warga asing menyeludup minyak tetapi turut membabitkan rakyat tempatan yang menjual minyak ke luar," katanya.

Mengenai pembekuan lesen SMM, Ismail Sabri berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk membuka semula lesen berkenaan, termasuk syarat baru yang lebih ketat seperti tidak membenarkan SMM dibuka dalam kawasan lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara.

“Ini untuk memastikan pemandu dari negara jiran tidak mengambil kesempatan daripada harga minyak yang lebih rendah di negara ini,” katanya.

serta mengelak pengusaha menjual kepada orang asing bagi mendapat keuntungan lebih," katanya.

Pada masa ini, katanya ada 330 SMM yang beroperasi di seluruh negara dan kementerian menerima 132 permohonan baru untuk membuka SMM di beberapa kawasan pedalaman.

(Sumber dari Berita Harian, 07/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...