Khamis, 11 Mac 2010

bharian: Liberalisasi cabaran baru rakyat Malaysia

KANGAR 14 April - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, usaha mewujudkan persaingan dalam pasaran harus bermula dari sekarang berikutan gelombang liberalisasi pasaran yang semakin mendekati negara.

Menurutnya, liberalisasi pasaran akan berlaku dalam tempoh terdekat berikutan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan ia memerlukan komitmen masyarakat untuk mewujudkan persaingan yang sihat.

Berucap merasmikan Seminar AFTA peringkat kawasan dewan undangan negeri Pauh di Arau dekat sini hari ini, Shahidan berkata, apabila AFTA dilaksanakan, dimensi perdagangan negara akan berubah dengan drastik.

Pintu dagangan negara akan terbuka luas dan kekuatan sebenar para usahawan negara ini akan diuji pada ketika itu, katanya.

Bagaimanapun, Shahidan berkata, AFTA juga akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk merebut pasaran di negara-negara ASEAN lain.

Bercakap kepada para pemberita kemudiannya, Shahidan berkata, rakyat negara ini perlu diberi penerangan yang secukupnya mengenai AFTA supaya mereka tidak mengalami kejutan apabila ia dilaksanakan.

Beliau percaya, seminar AFTA seperti yang dilaksanakan itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Ia sebagai langkah permulaan bagi memperkenal AFTA kepada rakyat supaya mereka boleh bersedia mulai dari sekarang menghadapi cabaran berkenaan.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh Majlis Hal Ehwal Pengguna Perlis dan Kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Pauh. - Bernama

(Sumber dari Utusan Malaysia, 15/04/2009)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...