(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/11)
PUTRAJAYA: Langkah menaikkan gred perkhidmatan profesor di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sehingga tahap Turus tanpa perlu memegang jawatan pentadbiran akan mengelakkan politiking dalam universiti, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata sebaliknya, dengan usaha itu, golongan profesor tidak perlu berebut untuk memegang jawatan pentadbiran dan boleh menumpukan kepada kepakaran hakiki masing-masing menerusi kegiatan penyelidikan dan perundingan, sekali gus menjayakan Model Ekonomi Baru (MEB) yang sedang dirangka kerajaan.
"Langkah ini adalah selaras dengan usaha kementerian untuk memartabat dan mempertingkatkan pencapaian sektor pengajian tinggi secara keseluruhannya. "Saya percaya usaha ini juga bakal memperlihatkan profesor cemerlang dalam bidang masing-masing dan dikenali sebagai pakar terkemuka pada peringkat kebangsaan, mahu pun antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, kementerian juga berharap kerajaan juga dapat mengkaji semula skim perkhidmatan pensyarah secara keseluruhannya, tidak hanya membabitkan profesor, supaya ia berupaya menarik minat graduan cemerlang atau sesiapa saja yang layak untuk menceburi bidang akademik dan pada masa sama melestarikan tenaga akademik sedia ada.
Khaled berkata, usaha menambahbaik perkhidmatan profesor itu juga membolehkan negara menghasilkan ‘nobel laureate’ kerana mereka tidak diganggu dengan tugasan pentadbiran.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-11 (Mappa XI) kelmarin bahawa kerajaan akan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah di IPTA dan institut perguruan bagi membolehkan profesor dinaikkan pangkat hingga tahap Turus berbanding Gred Khas A pada masa ini tanpa perlu memegang jawatan pentadbiran.
Label:
Malaysiaku
Khamis, 11 Mac 2010
bharian: 'Kenaikan gred profesor mampu elak politiking'
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 11, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan