SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan enam syarikat yang mengeluarkan sijil dan logo halal supaya menghentikan pengeluaran sijil berkenaan kepada peniaga dan pemilik premis makanan di Selangor.
Enam syarikat berkenaan ialah Bahtera Lagenda Sdn Bhd, Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S E A dan IFANCA International.
Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata Jais sebelum ini tidak pernah memberikan kebenaran dan mengiktiraf syarikat terbabit yang mengeluarkan sijil logo halal kepada beberapa premis makanan di negeri itu terutama di kedai kopi dan medan selera.
Katanya, syarikat terbabit juga didapati tidak melakukan pemantauan selepas mengeluarkan sijil logo halal kepada pemohon seperti dilakukan Jais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sehubungan itu, beliau menegaskan hanya sijil logo halal yang dikeluarkan Jais dan Jakim saja diiktiraf untuk diguna pakai di semua premis makanan di Selangor, berkuat kuasa semalam.
"Syarikat terbabit tidak lagi boleh menerima dan memproses sebarang permohonan mendapatkan sijil logo halal berkuat kuasa serta-merta dan mereka diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyelesaikan semua permohonan yang sedang dalam proses pengesahan.
"Bagi mereka yang belum memiliki sijil logo halal atau mahu memperbaharuinya diingatkan hanya melakukannya melalui Jais dan Jakim," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mereka yang masih ingkar dengan arahan Jais boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.
Antara syarat bagi mendapatkan sijil dan logo halal daripada Jais dan Jakim ialah memastikan bekalan bahan mentah kering atau basah menggunakan sijil logo halal yang sah dan menggunakan khidmat sekurang-kurangnya dua tukang masak Muslim.
Mohammed Khusrin berkata, gesaan itu dibuat berikutan ramai pengusaha barangan halal lebih berminat mendapatkan logo halal daripada pengeluar sijil halal swasta.
(Sumber dari Berita Harian, 06/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Isnin, 8 Mac 2010
bharian: Jais arah enam syarikat henti keluar sijil
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Isnin, Mac 08, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan