Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
Pelbagai insiden jejas keharmonian kaum, kestabilan negara
PERKEMBANGAN yang mencemaskan dan boleh menggugat keharmonian antara kaum sudah berlaku sejak mulanya 2010 ini dan hingga kini masih berterusan seolah-olah tidak ada penyelesaian dan kesudahannya.
Kekusutan ini adalah berikutan dengan puak Kristian Katolik berkeras mahu menggunakan kalimah Allah untuk Tuhan dalam akhbar mingguannya Herald dalam bahasa Melayu. Penggunaan itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri tetapi dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hari akhir tahun lalu hasil permohonan gereja Katolik.
Beberapa perlakuan berasingan yang tercetus berikutan keputusan mahkamah itu seperti cubaan membakar atau mencemarkan beberapa gereja dan surau sejak itu, dapat dibendung daripada merebak berkat kewibawaan pasukan polis yang bertindak pantas dan tegas serta wujudnya kematangan pelbagai pihak yang berkepentingan bertindak waras terhadap cubaan hendak mengeruhkan lagi keadaan dalam negara.
Terakhir beberapa kepala babi pula dilemparkan ke pekarangan dua masjid di Petaling Jaya sebelum subuh pagi semalam. Nampaknya ada anasir yang berterusan sengaja mahu menimbulkan kacau-bilau.
Bagaimana pun tindakan yang amat prihatin oleh pasukan polis itu tidak pula boleh diberikan kepada beberapa puak lain termasuk agensi dan televisyen berita asing yang memberikan gambaran seolah-olah ancaman terhadap gereja berlaku secara meluas. Pada hal perlakuan itu bukan pun bersepadu tetapi berlaku secara berasingan.
Demikian juga perbincangan dan bercambah pandangan termasuk tuduhan melulu terhadap Islam dan penganutnya di sini hingga ada beberapa tuduhan yang boleh mengaibkan agama Islam dan penganutnya juga dibuat melalui pelbagai portal berita dan blog, sama ada oleh mereka yang mengendalikan blog dan portal itu atau yang memberi komen dalam laman itu.
Yang mencemaskan ialah serangan ke atas sekitar lapan gereja mendapat gambaran amat buruk terhadap negara ini khususnya penganut Islam oleh media antarabangsa seolah-olah negara ini sudah menjadi tidak selamat lagi bagi bukan Islam.
Maka itu beberapa laman web yang sedia bersikap kritikal terhadap negara ini seperti Malaysian Insider dan Asia Sentinel dengan megahnya memberikan gambaran sungguh buruk terhadap apa yang berlaku itu khususnya orang Islam.
Demikian juga agama Islam itu sendiri menjadi sasaran diperolok-olokkan hingga ada yang membuat kesimpulan kononnya orang bukan Islam juga nantinya tidak dibenarkan makan pada waktu siang dalam bulan Ramadan atau semua orang perlu berhenti bekerja setiap kali azan berkumandang untuk menghormati Islam dan babi serta arak juga tidak boleh dihidangkan, takut orang Islam keliru dengannya.
Orang ini juga perli mungkin satu hari nanti rumah ibadat lain tidak boleh wujud lagi kononnya takut orang Islam bertukar agama. Demikianlah Islam dan penganutnya di sini berterusan dipersendakan. Lebih dikesalkan lagi ialah corak pemberitaan portal berita seperti Malaysian Insider yang memberi ruang luas kepada pelayarnya membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan liar termasuk yang boleh mengaib dan menggugat kesucian agama Islam hingga boleh pula mengeruhkan lagi keadaan.
Maka itu serangan ke atas gereja dianggap dilakukan secara terancang manakala serangan ke atas masjid adalah perlakuan nakal orang mabuk. Malah insiden terakhir mengenai beberapa kepala babi diletakkan di dua masjid di Petaling Jaya kononnya dilakukan orang sama yang menyerang gereja, maknanya orang Islam sendiri.
Hasilnya sesiapa saja yang membacanya termasuk orang luar yang tidak tahu selok-belok kedudukan negara majmuk ini akan membuat kesimpulan jauh berbeza daripada perkara yang sebenarnya berlaku. Mereka ini seolah-olah mahu melihat pergaduhan, kacau-bilau dan huru-hara berlaku.
Dalam pada itu timbul pula persoalan kenapa pimpinan akhbar Herald dan juga gereja Katolik beriya-iya sangat hendak menggunakan kalimah Allah untuk tuhan dalam dalam bahasa Melayu saja. Apakah mereka tidak sedar perkataan itu bukan pun perkataan Melayu tetapi adalah perkataan Arab.
Memandangkan keadaan ini kenapa mereka tidak pula mahu menggunakannya untuk naskhah dalam bahasa Inggeris? Secara logiknya, inilah yang mereka perlu lakukan kalau mereka tetap berpendirian bahawa tuhan mereka juga adalah Allah. Melayu yang tahu keadaan tentunya tidak boleh menerima hasrat gereja Katolik itu kerana dari segi akidahnya pun wujud perbezaan yang asas.
Bagi orang Islam, Allah ialah yang Maha Esa. Dia tidak beranak atau diperanakkan. Berbeza dengan fahaman tiga dalam satu bagi penganut Kristian, iaitu bapa, anak dan roh kudus. Inilah yang menjadi pokok kenapa majoriti orang Islam dan Melayu dalam negara ini tidak boleh menerima penggunaannya dalam bahasa Melayu dan kenapa dikatakan boleh mengelirukan orang Melayu.
Dalam pada itu, ada pula sesetengah ‘cerdik pandai’ Melayu mempersoal kenapa kita harus bantah penggunaan kalimah itu bagi orang Kristian? Bukankah Allah itu untuk semua makhluk alam? Kononnya kenapakah kita ini takutkan bayang-bayang? Hakikatnya tidak semua Melayu bergeliga macam mereka ini. Memang ada yang boleh dipengaruhi dan disesatkan.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh memurtadkan orang Islam. Memandangkan antara kewajipan orang Kristian ialah mengkristiankan siapa saja, maka tidakkah usaha terbaik yang boleh dilakukan ke atas orang Melayu adalah dengan mengeliru dan memesongkan akidah mereka terhadap keEsaan Allah? Lebih-lebih lagi dikalangan Melayu yang tidak berfikiran panjang.
Apakah ini bukan agenda mereka sebenarnya? Apapun berikutan dengan tindakan puak Herald ini, keadaan yang tidak menyenangkan sudah diwujudkan? Salahkah kalau diandaikan inilah juga yang pimpinan Katolik mahukan? Memang tidak masuk akal bagi seseorang yang berfikiran waras mahu mencetus keadaan huru-hara dalam negara.
Tetapi bukankah pimpinan Herald dan puak Katolik terdiri daripada mereka yang berfikiran waras? Kalau mereka ini benar-benar berakal, kenapa mereka mahu menjolok sarang tebuan? Apa pun hasil tindakan pimpinan akhbar Herald itu yang tidak mahu menerima status quo dan menghormati perkara sensitif begini kekusutan sudah wujud.
Daripada insiden terbaru di mana kepala babi diletakkan ke pekarangan dua masjid, nampaknya ada anasir yang berterusan sengaja mahu menimbulkan huru-hara. Oleh itu, yang terbaik boleh dilakukan Herald dan puak Katolik di sini demi menjaga keharmonian antara kaum dan kestabilan negara ialah membatalkan saja hasrat mereka menggunakan Allah untuk tuhan dalam akhbar mingguan Herald atau sebarang penerbitan mereka dalam bahasa Melayu.
(Sumber dari Berita Harian, 29/01/2010)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 11 Mac 2010
bharian: Isu kalimah: Ada pihak cuba keruhkan keadaan
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 11, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan