Khamis, 11 Mac 2010

bharian: FDI mungkin tiada lagi pada masa depan: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Usahawan dan syarikat tempatan perlu digalakkan melabur dalam negara berbanding bergantung terhadap pelaburan langsung asing (FDI) yang mungkin tidak lagi mencukupi pada masa depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Masa depan bakal menyaksikan dunia yang sangat berbeza dari segi ekonomi. Kita masih bercakap mengenai FDI. Pada masa depan, FDI tidak lagi akan mengalir masuk ke sini atau mana-mana negara," katanya semasa melawat I-City di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kadar pengangguran yang tinggi di Amerika Syarikat (AS) adalah antara sebabnya.

"Terdapat 10 peratus pengangguran di AS. Oleh itu, mereka mahu industri kekal di AS bagi menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan, atau akan berlaku revolusi terhadap mereka.

"Oleh itu, perbadanan dari AS tidak akan menggunakan wang untuk datang ke sini dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan," katanya.

Dr Mahathir berkata, selain pekerjaan, FDI sebenarnya tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada negara.

“Mereka datang bersama 10 peratus modal. Mereka meminjam wang di sini. Mereka memulakan industri tanpa membayar cukai, dan mengaut semua keuntungan.

"Namun jika syarikat Malaysia beroperasi di sini, mereka akan terus kekal di sini, mewujudkan pekerjaan dan membuat keuntungan yang lebih tinggi, yang akan memberi manfaat kepada seluruh negara," katanya. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 29/01/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...