KUALA LUMPUR 4 Mac - Seperti mana yang dijangkakan, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus.Ia merupakan kenaikan sebanyak 0.25 peratus daripada paras sebelumnya 2.00 peratus.
Kadar terendah dan tertinggi koridor OPR turut dinaikkan masing-masing kepada dua peratus dan 2.50 peratus.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebelum ini telah memberikan bayangan beberapa kali pada awal tahun ini, bahawa kadar faedah yang rendah boleh memberi risiko ketidakseimbangan dalam kewangan, sekali gus menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara.
Menurut beliau, sebarang pelarasan dalam kadar faedah adalah untuk mencapai tahap biasa dan bukan mengetatkan dasar.
Utusan Malaysia pada 23 Februari lalu melaporkan BNM dijangka akan mengumumkan kenaikan OPR dalam jangka masa terdekat.
Pada tahun lalu, kebanyakan penganalisis tempatan berpendapat BNM hanya akan menaikkan menaikkan OPR menjelang separuh pertama tahun ini selepas mengambil kira keadaan ekonomi global khususnya negara-negara maju yang masih tidak stabil.
Malah, menurut mereka, peningkatan jumlah pengangguran di Amerika Syarikat dikhuatiri menjejaskan proses pemulihan ekonomi kuasa besar itu.
Bank Pusat itu dalam kenyataan penjelasannya di sini berkata, pemulihan dalam ekonomi global semakin menggalakkan berikutan sokongan dasar yang berterusan dan keadaan kewangan yang bertambah baik.
Menurutnya, aktiviti ekonomi dalam ekonomi-ekonomi maju telah meningkat, meskipun pertumbuhan dijangka kekal sederhana.
Walau bagaimanapun, ekonomi-ekonomi pasaran yang sedang pesat membangun mencatat pemulihan yang lebih kukuh.
Ekonomi-ekonomi serantau, khususnya, berkembang dengan kukuh pada suku keempat 2009 dan momentum pertumbuhan dijangka berterusan.
Bagi ekonomi dalam negeri, prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku keempat 2009 mengesahkan bahawa pemulihan ekonomi adalah mantap.
''Melangkah ke hadapan, pertumbuhan dijangka terus bertambah kukuh dan disokong oleh permintaan dalam negeri dan peningkatan yang berterusan dalam permintaan luar terutama dari ekonomi serantau,'' katanya.
BNM berkata, sebagai mencerminkan keadaan ekonomi semasa dan pelarasan yang mungkin dibuat terhadap harga ditadbir, paras harga akan meningkat secara beransur-ansur sepanjang tahun ini.
Meskipun faktor luaran, termasuk kenaikan harga komoditi dan bahan makanan global, dijangka menyebabkan tekanan menaik terhadap harga dalam negeri, inflasi bagi tahun ini dijangka terus sederhana.
BNM telah menurunkan OPR ke paras terendah dalam sejarahnya pada 2009 kepada dua peratus sebagai langkah utama untuk mengelakkan berlakunya kelembapan ekonomi yang sangat buruk.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Isnin, 8 Mac 2010
utusan: OPR naik kepada 2.25 peratus
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Isnin, Mac 08, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan