Isnin, 8 Mac 2010

utusan: Jangan abai hak bumiputera

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my


KOTA BHARU 4 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta kerajaan menggunakan dasar 'tindakan kesungguhan' affirmative action dalam melaksanakan Model Ekonomi Baru supaya hak-hak bumiputera tidak terhakis.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu harus dilaksanakan kerana kaum pribumi di negara ini masih tidak mampu untuk bersaing sekiranya kerajaan membiarkan kuasa pasaran menentukan hala tuju ekonomi negara.

Beliau berkata, tindakan kesungguhan ialah memberikan peluang kepada golongan yang tidak berkemampuan seperti dalam bidang pendidikan dan ekonomi untuk bersaing dan berkongsi kejayaan.

"Jika pasaran terbuka dilaksanakan saya bimbang wang hanya berlonggok pada syarikat-syarikat yang berkemampuan sahaja.

"Kalau ini berlaku, ia hanya akan mewujudkan sekumpulan syarikat sahaja yang kaya manakala orang lain akan terus terbiar dan bertambah miskin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim yang juga pengasas Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, dasar tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan peluang dan kekayaan dapat dibahagikan secara saksama.

Katanya, kaum bumiputera akan terus ketinggalan sekiranya sistem kuasa pasaran diamalkan di negara ini.

"Kerajaan tidak boleh menerima saranan pihak tertentu supaya sistem kuasa pasaran diwujudkan kerana ia akan memberikan kesan kepada politik negara pada masa akan datang.

"Hal ini telah dibuktikan, kita boleh lihat contoh di beberapa negara seperti orang Filipina membakar kedai milik kaum Cina, kaum pribumi Afrika Selatan membakar kedai milik kaum India, ini kerana mereka menguasai ekonomi dan 'keknya' tidak dibahagikan sama rata," katanya.

Tambahnya, MPM akan mengadakan sidang meja bulat untuk membincangkan perkara tersebut pada Ahad ini.

Katanya lagi, beberapa pakar ekonomi Melayu akan berkumpul untuk mencari kaedah terbaik dalam melaksanakan dasar tersebut.

"Seorang profesor dari Yield University berpendapat pelaksanaan kuasa pasaran perlu diikat dengan tindakan kesungguhan.

"Perkara ini perlu dilakukan di Malaysia supaya kaum pribumi tidak terus ketinggalan terutama dalam aspek ekonomi," katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...