Khamis, 4 Mac 2010

bharian: Tingkat kerjasama antara blok ekonomi

MENTERI-MENTERI Ekonomi Asean bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dengan blok ekonomi seperti Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) serta perjanjian perdagangan serantau membabitkan Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay (Mercusor).

Pengerusi Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-16, Dr Vu Huy Hoang, berkata usaha terbabit yang akan dilaksanakan secara berperingkat, adalah antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu bagi mencapai matlamat untuk mengembangkan lagi jumlah perdagangan antarabangsa Asean.

“Menteri, pegawai serta sekretariat Asean digalak mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit bagi mencari kaedah terbaik melaksanakannya,” katanya pada sidang media penutup Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-16 di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat AEM selama dua hari itu membincangkan beberapa isu utama seperti persaingan dihadapi Asean dan kebolehan rantau ini untuk terus menjadi destinasi utama pelabur asing.

Pada mesyuarat itu, Menteri Ekonomi Asean turut menilai pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Dr Vu berkata, pada mesyuarat itu, Menteri Ekonomi Asean turut menyatakan komitmen meningkatkan usaha memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang dijadual mula dilaksanakan pada 1 Januari 2015.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Vietnam berkata, menteri terbabit turut mengambil berat mengenai kepentingan perjanjian ekonomi membabitkan Asean seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas Asean (Afta).

“Menteri menegaskan sekali lagi komitmen melaksanakan perkara termaktub dalam perjanjian, serta menjadikan Asean sebagai asas entiti tunggal,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...