Ahad, 28 Mac 2010

bharian: Ramai tak peka risiko jenayah siber

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/28)

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

Pengguna internet hari ini turut jadi mangsa peras ugut, bunuh

KECANGGIHAN teknologi bukan sekadar memudahkan urusan seharian, ia turut membawa kesan yang perlu dibayar dengan harga mahal.

Tidak ramai tahu perbandingan nisbah kebarangkalian jenayah siber kini pada tahap 1:5 berbanding jenayah pecah rumah hanya 1:30. Sememangnya membimbangkan, namun ia tidak diberikan perhatian sepatutnya atas alasan kita tidak melihat penjenayah siber. Tanpa kita sedar peningkatan mendadak jumlah pengguna ruang siber yang berinteraksi di laman sosial seperti Facebook, Friendster dan Twitter sebenarnya antara punca meningkatkan lagi risiko menjadi mangsa jenayah siber.



Mengikut statistik Symantec Norton Security Response, syarikat yang menawarkan perlindungan, penyimpanan dan pengurusan sistem penyelesaian komputer global, jenayah siber berlaku setiap 0.25 saat di seluruh dunia yang meliputi peras ugut, ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan malware.

Pengguna ruang siber kini bergantung kepada teknologi untuk membolehkan mereka berkongsi fail, foto dan muzik pada bila-bila masa daripada sebarang alat telekomunikasi.

Masalah mula timbul apabila kecenderungan pengguna mengejar kepantasan teknologi siber tidak setara dengan kesedaran untuk melindunginya daripada diceroboh penjenayah siber.
Kelemahan ini ditambah dengan jangkaan peningkatan penggunaan smartphone yang menguasai hampir separuh jualan telefon mudah alih dunia seperti Android, iPhone dan iPad pada 2013.

Hakikatnya, dalam masa empat minit saja selepas dihubungkan ke internet, sebuah komputer peribadi yang tidak berperisai akan dijangkiti virus dengan mudah.
Malah, setiap tiga saat pengguna laman siber akan hilang kata laluan, maklumat kad kredit, maklumat bank dan pelbagai maklumat lain.

Ketua Perniagaan Norton (Rantau Asia Selatan), Effendy Ibrahim, berkata pemantauan aktiviti internet yang dilakukan baru-baru ini menyerlahkan, dalam masa 24 jam selepas kejadian tsunami di Chile dan gempa bumi di Haiti, pelbagai laman web bertujuan mengutip derma dibangunkan, sedangkan laman web ini mengandungi banyak perisian palsu yang cuba memporak-perandakan dan mencuri data peribadi pengguna ruang siber.

“Insiden terbaru berlaku di Jakarta, Indonesia dan masih dalam siasatan membabitkan seorang gadis yang berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook diajak bertemu atas alasan lelaki itu sakit tenat.

“Atas dasar simpati, gadis itu bersetuju dan pergi ke tempat yang dijanjikan. Malangnya selepas gagal memperkosanya, dia membunuh gadis itu.

“Dek ghairah dan mudahnya mendapat ramai kawan tanpa perlu bertentang mata di laman sosial, ternyata menarik pengguna ruang siber untuk terus berkomunikasi menggunakan pengantara ini sehingga terlalu selesa dan percaya untuk berkongsi maklumat peribadi, foto, video dan data,” katanya yang mengakui pengguna internet lebih ramai kawan di laman sosial berbanding di alam nyata.

Sementara itu, Ketua Perbankan Virtual Maybank, Choong Wai Hong, berkata 1,200 kes penipuan perbankan internet dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu yang merangkumi 0.003 peratus daripada jumlah nilai transaksi membabitkan RM348.5 bilion, membabitkan kerugian RM1 juta.

Beliau berkata, walaupun peratusan kerugian masih rendah berbanding jenayah kewangan lain, ancaman itu tidak harus dipandang rendah.

“Kita perlu melihatnya dari perspektif lebih meluas dengan bilangan pelanggan perbankan internet semakin meningkat, oleh itu kami perlu mengimbanginya dengan menjadi lebih peka kepada segala bentuk ancaman,” katanya.

Mengikut pengalaman Maybank, katanya, 72 peratus jenayah siber yang dilapor membabitkan kecuaian pelanggan seperti mendedahkan kata laluan dan maklumat peribadi secara sedar.

Untuk mengatasinya, Maybank menjalin usaha sama dengan firma keselamatan bagi mengesan secara proaktif serta menangani kes penipuan, menjalin kerjasama rapat sesama bank, meningkatkan perkhidmatan keselamatan dan bekerjasama dengan polis, selain menganjurkan kempen kesedaran awam.

Cybersecurity, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengakui isu keselamatan yang dihadapi pengguna komputer dan internet meningkat berikutan penggunaan teknologi jalur lebar yang bertambah.

“Lebih 700 kes dilaporkan kepada Cyber999 sehingga Februari tahun ini manakala sepanjang tahun lalu mencecah 3,600 kes,” kata Ketua Pusat Bantuan Tindak Balas Kecemasan Komputer MyCert dan Cyber999, Adli Abdul Wahid.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan, MyCert mengesan 75 serangan virus melalui komputer atau e-mel. Walaupun jumlah itu mungkin kecil, impak buruknya mampu menjangkiti 1.6 juta komputer di Malaysia.

INFO
Jenayah siber


Nisbah kebarangkalian jenayah siber kini pada tahap 1:5 berbanding jenayah pecah rumah hanya 1:30.

Jenayah siber berlaku setiap 0.25 saat di seluruh dunia yang meliputi peras ugut, ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan malware.

Setiap tiga saat pengguna laman siber akan hilang kata laluan, maklumat kad kredit, maklumat bank dan pelbagai maklumat lain.

1,200 kes penipuan perbankan internet dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu yang merangkumi
0.003 peratus daripada jumlah nilai transaksi membabitkan RM348.5 bilion, membabitkan kerugian RM1 juta.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...