Rabu, 24 Mac 2010

bharian: Pelabur dunia mula alih arah tinjau Asia

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/23)

Oleh Kamarulzaidi Kamis

AIC jadi platform baru perbincangan rumus strategi pelaburan

PERSIDANGAN Pelaburan Asia (AIC) mungkin tidak gah dibandingkan beberapa persidangan gergasi ekonomi lain seperti Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dan sebagainya.

Bagaimanapun, populariti persidangan itu kini semakin meningkat serta mendapat pengiktirafan di kalangan pelabur institusi, syarikat korporat, penggubal dasar serta ketua negara global, khususnya selepas melihat daya tahan negara Asia berdepan kegawatan global baru-baru ini.

Ia kini dilihat sebagai medan pertemuan pelabur dari seluruh pelosok dunia untuk meninjau peluang pelaburan pada masa akan datang di rantau ini dan menjadi platform perbincangan dalam merumus strategi pelaburan masing-masing.
Sebenarnya, AIC adalah sidang tahunan yang diadakan sejak 1998, iaitu selepas Asia bangkit daripada Krisis Kewangan 1997-1998 lalu dan sejak itu juga masyarakat dunia mula mengakui pengalaman mengharungi tempoh berkenaan, menjadikan struktur ekonomi Asia lebih mantap berbanding sebelumnya.

Dalam pada itu, kemampuan negara Asia untuk pulih terlebih dulu berbanding negara lain serta kemunculan gergasi baru ekonomi global seperti India dan China, membuka mata pelabur bahawa landskap ekonomi dunia kini sudah berubah.

Antara sedar dan tidak, Asia kini adalah peneraju pertumbuhan, susulan itu pelabur global mula mengiktiraf apa juga persidangan pelaburan di negara Asia, termasuk AIC ke-13 di Hong Kong yang bermula semalam.
Dengan forum dialog dan perdebatan mengenai pelbagai isu berkaitan ekonomi dan pelaburan, persidangan di pusat kewangan Asia itu dihadiri lebih 2,000 pelabur institusi serta ketua kerajaan dan kementerian, pegawai kanan bank pusat, pengawal selia pasaran, ahli korporat, perbankan, kewangan serta syarikat utama dunia.

Ketua Eksekutif Asia Pasifik Credit Suisse yang menganjur acara tahunan itu, Kai Nargolwala, berkata populariti AIC meningkat seiring dengan pertambahan minat pelabur global di rantau ini.

Pertambahan minat itu dicerminkan menerusi peningkatan penyertaan, iaitu daripada hanya 400 delegasi ketika mula dianjurkan pada 1998 lalu kepada lebih 2,000 delegasi. Mereka terdiri daripada pelabur dari Asia, Amerika Utara dan Eropah yang meninjau peluang pelaburan di negara rantau ini.

Lazimnya, AIC berlangsung selama empat hari, namun pada tahun ini, ia dilanjutkan kepada lima hari, iaitu daripada 22 hingga 26 Mac. Ini adalah untuk memberi lebih peluang kepada syarikat dan pelabur yang menyertai untuk berbincang, menyuarakan pendapat serta merumus strategi pelaburan masing-masing, katanya.

Sepanjang lima hari persidangan, lebih 70 syarikat akan membentangkan peluang pelaburan yang boleh disertai dan sejumlah 5,000 mesyuarat pelaburan tertutup akan diadakan.

AIC kali ini juga menyaksikan lebih 40 pemimpin, pakar kewangan dan pelaburan serta ahli panel akan menyampaikan ucaptama, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mana pendapat dan kepakaran mereka jelas memberi kesan besar kepada arah tuju industri, pasaran dan masyarakat Asia, jelas beliau.

Najib dijadualkan menyampaikan ucaptama pada sesi dialog makan tengah hari sidang berkenaan yang diadakan hari ini. Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri Britain, John Major yang kini Penasihat Kanan Credit Suisse akan menjadi fasilitator acara berkenaan.

Pada majlis itu, Najib dijangka menerangkan harapan beliau dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama bagi pelabur di Asia. Dengan jadual ketat pada persidangan itu, beliau akan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa kumpulan pengurus dana dan pelabur institusi global.

Justeru, sudah tentu banyak yang akan beliau diperkatakan dan kemukakan pada AIC kali ini khususnya Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibentangkan laporannya pada minggu depan. Sejak beliau menjadi Perdana Menteri juga, Malaysia kembali dalam pantauan skrin pelaburan masyarakat antarabangsa.

Liberalisasi pelbagai sektor perkhidmatan, pasaran modal, mengeluarkan lesen baru perbankan untuk syarikat asing dan melonggarkan peraturan ekuiti, membuka pasaran Malaysia dan menyediakan rangsangan ekonomi, menarik perhatian pelabur global di tengah-tengah fokus mereka ketika itu lebih menjurus kepada China, India dan Vietnam.

Kemasukan pelaburan syarikat amat terkemuka global, khusus dari China dan Asia Barat ke Sarawak tahun lalu serta komitmen pelaburan syarikat gergasi seperti The Coca-Cola Company bernilai RM1 bilion baru-baru ini yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pusat pembotolan minuman ringan di rantau ini, adalah bukti jelas peralihan tumpuan pelaburan berkenaan.

Pada hari ini juga, beberapa tokoh perniagaan dan pelaburan terkemuka Malaysia iaitu Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes dan Pengarah Eksekutif YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong, dijadualkan menjadi ahli panel perbincangan bertajuk Malaysia: Peluang Dalam Persekitaran Liberalisasi.

Mereka akan membincangkan prospek dari sudut korporat susulan perubahan persekitaran perniagaan di Malaysia, justeru berpotensi menarik kemasukan pelabur asing. Diharapkan mereka juga dapat membuka mata pelabur asing mengenai perubahan dan pengenalan dasar yang dilaksanakan kerajaan dalam merangsang aktiviti sektor korporat di Malaysia.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...