Rabu, 24 Mac 2010

utusan: GST dilaksana selepas rakyat benar-benar faham

(Sumber dari Utusan Malaysia, 24/03/2010)

HONG KONG 23 Mac - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan apabila rakyat benar-benar memahami kepentingan serta rasional memperkenal GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, GST mungkin satu kaedah percukaian yang baik dari segi pengurusan kewangan kerajaan.

"Namun pelaksanaannya melibatkan soal penerimaan rakyat. Kita perlu memastikan rakyat benar-benar memahami isu ini. Kita tidak mahu isu GST menjadi isu yang sengaja diperbesar-besarkan.

"Sehubungan itu, kerajaan akan membuat segala usaha untuk memberi penerangan kepada rakyat berhubung GST," tegasnya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri yang menghadiri Persidangan Pelaburan Asia (AIC) Credit Suisse Ke-13 di sini, menjelaskan demikian ketika ditanya mengenai tempoh kerajaan menangguhkan Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

Mengenai kemungkinan kerajaan membenarkan aktiviti perjudian melibatkan pertaruhan sukan (sports betting) di Malaysia, Najib berkata, perkara itu memerlukan penelitian mendalam dan menyeluruh.

"Memang terdapat cadangan agar membenarkan pertaruhan sukan tetapi itu masih di peringkat cadangan. Biarlah kita teliti dulu," jelasnya.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa sebuah syarikat tempatan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan sebagai satu lagi aktiviti perjudian syarikat berkenaan.

Mengenai Khazanah Nasional Berhad, Najib berkata, syarikat pelaburan negara itu akan terus melakukan pelaburan strategik, baik di dalam negeri dan luar negara.

"Melabur secara strategik di dalam negara bermakna membuat pelaburan yang boleh menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam bidang-bidang strategik di Malaysia.

"Kedua, Khazanah juga boleh ke luar negara dan melabur dalam syarikat-syarikat yang strategik, khususnya dalam syarikat yang memberi pulangan serta keuntungan modal yang tinggi, di samping membawa masuk teknologi baru kepada negara," katanya. - Utusan

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...