Khamis, 25 Mac 2010

utusan: Cara pengurusan dirombak

(Sumber dari Utusan Malaysia, 2010/03/25)

HONG KONG 24 Mac - Pelaksanaan model ekonomi baru (MEB) yang akan diumumkan pada akhir bulan ini, akan menyaksikan satu rombakan kepada cara pengurusan dan penyampaian kerajaan bagi memastikan semua matlamat MEB tercapai, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi pengurusan (administrative reforms) akan menjadi aspek penting dalam pelaksanaan MEB memandangkan dasar yang baik tidak memberi apa-apa makna jika ia gagal dilaksanakan dengan baik juga.

"Penekanan kita mestilah pada pelaksanaan kerana walaupun dasar kita baik, model kita baik tetapi kalau pelaksanaannya tidak dirancang dengan teliti serta kita tidak tempatkan mereka yang mempunyai kemampuan, maka apa yang kita hasratkan mungkin tidak akan tercapai," katanya pada sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya lanjut mengenai rombakan pentadbiran yang bakal berlaku itu, beliau hanya memberitahu, rombakan berkenaan akan diumumkan apabila beliau membentangkan MEB pada 30 Mac ini.

"Tunggu dan lihat nanti, itu sahaja yang dapat saya katakan pada masa ini," tambahnya dengan penuh senyuman.

Perdana Menteri berada selama dua hari di Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) China ini bagi menghadiri Persidangan Pelaburan Asia (AIC) Credit Suisse Ke-13, yang turut dihadiri lebih 250 ketua syarikat di Asia, mewakili pelbagai negara dan sektor produk serta industri.

Katanya, MEB mendapat minat yang tinggi daripada pengurus-pengurus dana pelaburan dan pasaran modal memandangkan ia satu pendekatan yang mampu menentukan hala tuju masa depan ekonomi negara serta bidang-bidang keutamaan yang akan ditekankan oleh kerajaan.

"Namun saya jelaskan kepada mereka, apa pun yang kita buat ia perlu mengambil kira aspek kesesuaian dengan pasaran dan penerimaan rakyat Malaysia.

"Sebagai contoh isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kita perlu jelaskan kepada rakyat agar rakyat boleh terima pembaharuan tersebut demi kebaikan ekonomi negara dan rakyat sendiri," tegas beliau.

Menjawab soalan mengenai kehadirannya pada AIC kali ini, Perdana Menteri berkata, beliau yakin telah dapat menghuraikan kepada para pengurus dana pelaburan mengenai hala tuju program transformasi ekonomi (ETP) yang mahu dilakukan oleh kerajaan.

"Kita perlu hadir pada persidangan-persidangan seperti ini bagi menyampaikan mesej kita kepada mereka agar tidak berlaku salah faham atau kesilapan maklumat.

"Kita kena bersemuka dengan mereka bagi melenyapkan sebarang maklumat yang tidak tepat dan tidak terkini supaya mereka tidak berfikiran bahawa situasi (di Malaysia) masih sama seperti dulu," ujarnya. - Utusan

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...