Rabu, 24 Mac 2010

bharian: Banyak kriteria diteliti sebelum diisytihar SBT

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)

Laporan Azman Zakaria, Magendran Rajagopal, Nazura Ngah dan Haspaizi Mohd Zin
bhnews@bharian.com.my

Pemilihan sekolah bukan berdasar akademik semata-mata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kaedah pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tidak berdasarkan negeri, lokasi dan jenis sekolah, sebaliknya sekolah yang terbaik antara yang terbaik daripada semua aspek yang dinilai secara menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan itu juga tidak hanya memberi penekanan kepada pencapaian akademik. “Kementerian berpandangan jika pemilihan berdasarkan negeri dan jenis sekolah, pelan hala tuju Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) tidak akan mencapai matlamat bagi merealisasikan Wawasan 2020, " katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan Datuk Norani Ahamd (BN-Parit Sulong), ketika sesi soal jawab, di Parlimen semalam.

Muhyiddin berkata, semua sekolah berpeluang dan layak diiktiraf sebagai SBT dan bagi sekolah yang belum mencapai tahap itu, kementerian akan memperkenalkan 'School Improvement Programme' (SIP) bagi membantu sekolah melonjakkan prestasi pencapaian.

Katanya, SIP yang diperkenalkan mengandungi dua perkara utama iaitu Toolkit Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) bagi menganalisis kekuatan dan kekurangan sesebuah sekolah berdasarkan empat elemen utama iaitu kepemimpinan, guru, murid, ibu bapa dan infrastruktur, serta Pelan Pembangunan Prestasi Sekolah.

Katanya, daripada analisis SIT itu, setiap sekolah akan merangka dan merancang Pelan Pembangunan Prestasi Sekolah masing-masing.

Beliau berkata, berdasarkan kepada ranking sekolah rendah yang ada sekarang, didapati kebanyakan sekolah yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman berada dalam kelompok Sekolah Berprestasi Rendah.

Ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), beliau berkata kriteria SBT juga tidak berdasarkan pencapaian seorang pelajar yang cemerlang di sesebuah sekolah tetapi juga pelbagai kriteria lain.

Mengenai bantuan kepada pelajar cemerlang, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pemberian anugerah biasiswa nasional kepada pelajar yang dipilih berdasarkan merit, tidak lama lagi.

Katanya, kriteria pemilihan itu dibuat tanpa mengambil kira kaum sama ada Melayu, Cina, India atau sebagainya tetapi di kalangan yang terbaik daripada yang terbaik.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...