Rabu, 24 Mac 2010

utusan: MEB tarik lebih banyak FDI – PM

Oleh Gamal Nasir Mohd. Ali

(Sumber dari Utusan Malaysia, 24/03/2010)

Najib bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan Asia (AIC) Credit Suisse Ke-13 di Hong Kong, semalam. – REUTERS


HONG KONG 23 Mac – Perdana Menteri yakin Model Ekonomi Baru (MEB), yang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi, dapat terus menarik lebih banyak pelaburan terus asing (FDI) kerana model itu menitikberatkan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, berkata, berdasarkan MEB, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kedua-dua bentuk pelaburan, dalam negeri dan asing.

“Kerajaan berpendapat kita telah melakukan tanggungjawab bagi mengerakkan pemulihan ekonomi, malah sebahagian besar galakan (insentif) datang daripada sektor awam.

“Kini sudah tiba masanya bagi kita untuk menggalakkan sektor swasta memainkan peranannya sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi. Inisiatif-inisiatif yang kita usahakan (dalam MEB) tertumpu kepada arah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Najib menyampaikan ucaptama dalam program Bual Bicara Tengah Hari Bersama Perdana Menteri Malaysia pada Persidangan Pelaburan Asia (AIC) Credit Suisse Ke-13, yang dihadiri lebih 250 ketua syarikat di Asia, mewakili pelbagai negara dan sektor produk serta industri.

Ucaptama yang bertajuk Malaysia: Pembaharuan melalui Transformasi itu telah dimudahcarakan oleh bekas Perdana Menteri Britain, Sir John Major yang kini menjadi Penasihat Khas Credit Suisse.

Menurut Perdana Menteri, memandangkan jumlah FDI menurun pada tahun lepas, kerajaan kini memberi penekanan kepada kaedah meningkatkan kedua-dua aspek FDI, iaitu kualiti dan kuantiti.

“Tahun lepas tahun yang ‘tidak baik’ bagi kita kerana jumlah FDI menyusut dengan kadar yang besar, namun kita berharap tahun ini, jumlah FDI akan kembali ke paras yang tinggi seperti sebelum ini.

“Selain itu, tahun ini, kita juga akan bersikap lebih memilih dalam menentukan jenis-jenis pelaburan yang mahu kita tarik ke Malaysia... dalam erti kata lain, kita mahukan FDI yang memberi nilai dan kesan berganda kepada ekonomi negara,” tegasnya.

Kata beliau, Malaysia tidak lagi mahu menarik pelaburan asing dalam industri berasaskan buruh sebaliknya mahukan pelaburan yang mencergaskan lagi ekonomi tempatan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

Mengenai keperluan beliau untuk hadir pada persidangan seperti ini, Najib berkata, Malaysia perlu “menceritakan” kejayaan-kejayaannya kerana persaingan merebut pelaburan asing amat sengit pada masa ini.

“Lawatan saya ke sini ialah untuk menceritakan bahawa Malaysia adalah sebuah destinasi yang menarik bagi pelaburan ekuiti serta pasaran modal selain daripada FDI.

“Saya berpendapat, adalah penting bagi kita menceritakan kejayaan-kejayaan kita agar masyarakat antarabangsa dapat mengiktiraf segala usaha serta inisiatif yang telah dan sedang kita lakukan demi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang dan maju,” ujarnya.

Katanya, mesej yang mahu beliau sampaikan pada AIC ialah Malaysia amat komited kepada pembaharuan-pembaharuan ekonomi ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, malah MEB adalah sebahagian dan komponen penting dalam program transformasi ekonomi (ETP) kerajaan.

“Kerajaan adalah komited kepada usaha-usaha mengatasi masalah yang dihadapi oleh ekonomi negara, termasuk masalah struktur. Transformasi ini akan berlaku secara berterusan dan akan menjadi komitmen berpanjangan kerajaan.

“MEB yang bakal dilancarkan pula akan mengenal pasti dorongan-dorongan strategik serta pendorong-pendorongnya bagi menentukan bidang-bidang utama yang menjadi fokus ekonomi kita pada masa hadapan,” jelas Perdana Menteri. – Utusan

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...