Khamis, 25 Mac 2010

utusan: Kerajaan sedia kurangkan pegangan syarikat besar

(Sumber dari Utusan Malaysia, 2010/03/25)

HONG KONG 24 Mac - Malaysia bersedia mengurangkan pegangan atau kepentingan kerajaan dalam syarikat-syarikat besar tempatan bagi membolehkan lebih banyak dana pelaburan asing memasuki negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pengurus-pengurus dana pelaburan asing memang berminat untuk melabur di Malaysia, tetapi mereka menyuarakan pandangan terdapat beberapa kekangan yang menyulitkan mereka berbuat demikian.

"Pertama, mereka mahu melihat pasaran model Malaysia yang lebih dinamik dan cergas dengan melihat lebih banyak syarikat yang besar dan kukuh disenaraikan (pada bursa saham Malaysia).

"Kedua, mereka mahu melihat GLC (syarikat-syarikat milik kerajaan) dan badan-badan kerajaan mengurangkan saham atau ekuiti mereka dalam syarikat-syarikat besar bagi membuka ruang kepada mereka untuk melabur pula," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, hari terakhir lawatan dua hari Perdana Menteri ke Hong Kong.

Najib berada di Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) China ini bagi menghadiri Persidangan Pelaburan Asia (AIC) Ke-13 anjuran Credit Suisse, yang merupakan antara sebuah syarikat dana pelaburan utama di rantau Asia.

Menurut Perdana Menteri, para pengurus dana pelaburan asing berpendapat, jumlah syarikat besar dan kukuh tidak begitu banyak di Malaysia, maka ini mengurangkan jumlah syarikat yang membolehkan mereka melabur.

"Mereka juga berkata, peluang mereka untuk melabur menjadi sempit kerana banyak ekuiti syarikat-syarikat besar dikuasai GLC atau agensi kerajaan seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan KWSP untuk bertindak sewajarnya.

"Sebenarnya, kita (kerajaan) telah pun melakukan perkara ini (mengurangkan kepentingan GLC dalam syarikat-syarikat besar), tetapi pasaran mahu kita lakukan dengan lebih banyak lagi," tambahnya.

Ditanya sama ada ini akan menjejaskan kepentingan nasional terhadap syarikat-syarikat tersebut, Perdana Menteri menegaskan langkah tersebut tidak sama sekali menafikan atau menghakis kepentingan negara.

"Pertama, kita tidak perlu mempunyai saham yang banyak di dalam sesebuah syarikat untuk menguasai syarikat tersebut.

"Kedua, kita juga mempunyai saham-saham 'emas' (golden shares), dan ketiga kita juga adalah pengawal selia (regulator), maka kepentingan negara tetap terpelihara, terutama dalam bidang-bidang yang penting serta strategik," ujar beliau.

Perdana Menteri juga menolak kemungkinan usaha-usaha menyenaraikan lebih banyak syarikat ke bursa saham seperti yang diminta oleh pengurus-pengurus dana pelaburan asing akan menyebabkan peraturan penyenaraian dilonggarkan.

Katanya, kerajaan tidak sama sekali akan berkompromi dalam mengekalkan konsep pentadbiran berwibawa (good governance) oleh syarikat-syarikat.

"Apa yang kita perlukan ialah mempercepat lagi usaha bagi membolehkan syarikat-syarikat yang berpotensi disenaraikan (pada bursa saham)," tegas beliau. - Utusan

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...