Selasa, 30 Mac 2010

bharian: Usah biar cabaran globalisasi menghakis nilai teras universiti

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

Oleh Dr Ibrahim Komoo

Institusi pusat kecemerlangan ilmu tidak harus menjadi badan korporat yang mengukur pencapaian berdasarkan untung

MALAYSIA memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti universiti untuk melahirkan sumber manusia berilmu, kreatif dan berinovasi sambil mengharapkan penjanaan teknologi tinggi yang dapat meningkatkan ekonomi negara. Universiti awam diperkasa, diangkat martabatnya menjadi universiti Apex dan universiti penyelidikan. Universiti swasta pula dirangsang untuk menjadi hab pendidikan tinggi bagi rantau Asia Pasifik.

Ini antara maklum balas negara ketika berdepan cabaran globalisasi. Ketika universiti tempatan cuba menyesuaikan diri untuk menyahut cabaran negara, visi dan objektif serta strategi pelaksanaan mereka mulai berubah, kini institusi pengajian tinggi dilihat lebih mirip sebagai organisasi korporat atau entiti perniagaan. Apakah fenomena ini membawa universiti ke arah yang berjauhan daripada peranan asalnya? Apakah nilai teras universiti masih boleh dipertahankan?



Nilai teras universiti yang membezakannya dengan institusi lain pada prinsipnya boleh dibahagikan kepada empat.

Pertama, pencarian ilmu secara bebas. Dalam konteks ini, institusi akademik dan ahlinya akan berusaha meneroka ilmu dan mencari kebenaran berpandukan kepakaran serta pendekatan ilmiah yang kukuh. Fakta yang disampaikan mampu dipertahankan tanpa boleh digugat faktor dalaman atau luaran. Dapatan dari universiti dan ilmuwannya sangat dihargai masyarakat kerana umumnya bebas daripada kecenderungan mana-mana pihak. Pada prinsipnya, individu akademik dan universiti bersifat autonomi daripada perspektif pemikiran dan ilmu.

Kedua, menghargai kualiti iaitu tidak berasa selesa dengan apa yang ada dan sentiasa mencari kecemerlangan. Ahli akademik perlu sentiasa meneroka ufuk ilmu dan tidak akan kompromi terhadap kualiti yang lebih rendah daripada keupayaan optimumnya. Mereka sentiasa ingin berkongsi pengetahuan yang diperoleh dan menyebarkan nilai serta pengetahuan kepada keserakanan dan masyarakat. Dalam konteks ini, merungkai ufuk ilmu dan kecemerlangan adalah identiti ilmuwan dan dorongan terus berusaha.

Ketiga, bersifat inklusif iaitu mempercayai pengetahuan untuk semua. Sifat inklusif memperkukuh nilai dan iltizam mengenai kualiti dan kepercayaan saling menghormati pandangan yang berbeza. Kepercayaan terhadap nilai inklusif juga dapat memberi peluang menyediakan komuniti intelek yang bersedia untuk memberi serta menghormati pelbagai idea dan perspektif.

Keempat, keperluan saling berhubungan dibina berasaskan warisan dan nilai sejagat. Ia mempermudahkan ahli akademik menggunakan kepakaran secara bersama dan kreatif untuk memperluas ufuk ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama. Nilai ini membolehkan ilmu dihubung pada peringkat tempatan, kebangsaan dan global.

Saling berhubung bererti ahli akademik berpandangan ke depan, dapat menjangka isu masa depan dan mampu menyelesaikan isu semasa. Begitu rupanya nilai teras yang menyemarak semangat cintakan ilmu dan ilmu untuk semua yang membawa institusi universiti dan ilmuwannya ke mercu kejayaan dan disanjung masyarakat.

Apakah globalisasi benar-benar menggugat nilai teras universiti? Apakah kelemahan kita ketika berdepan arus globalisasi yang mendorong institusi universiti menjauhi nilai terasnya? Jika diperhatikan secara umum, globalisasi mempengaruhi universiti dalam dua perspektif berikut:

i) Universiti perlu bersaing pada peringkat global (universiti kepunyaan sejagat), dan

ii) Peranannya perlu diubah daripada ‘gedung ilmu’ kepada pusat penjanaan dan penjualan ilmu (universiti sebagai badan perniagaan).

Universiti sebagai kepunyaan sejagat berdepan isu kualiti akademik dinilai daripada perspektif kedudukannya (ranking) pada peringkat serantau dan global. Untuk universiti cemerlang perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada pelajar yang datang dari pelbagai negara dan membawa pelbagai budaya. Isu kritikal yang dihadapi ialah bagaimana mengimbangi antara keperluan kebangsaan dan antarabangsa? Apakah bahasa ibunda (kebangsaan) masih relevan sebagai media komunikasi universiti?

Universiti sebagai badan perniagaan pula membawa pelbagai peluang perniagaan berteraskan ilmu. Semua yang ada di universiti boleh diperniagakan. Akibatnya universiti swasta (perniagaan) bercambah seperti cendawan dan persaingan ‘perniagaan’ membawa pelbagai kesan negatif, khususnya daripada perspektif wibawa dan kualiti penyampaian ilmu.

Universiti awam pula terdesak untuk masuk campur dalam urusan ‘perniagaan pendidikan’. Apabila dana daripada kerajaan semakin berkurangan, dan universiti didorong untuk mendapatkan dana luar melalui sumbangan atau perniagaan. Akibatnya, wibawa dan kualiti akademik akan turut terjejas.

Di universiti awam tempatan, kita dapat memerhatikan aliran perubahan yang sangat membimbangkan. Untuk mengejar kedudukan global, persaingan antara universiti menjadi sengit dan umumnya bersifat kurang sihat. Perlumbaan yang keterlaluan tidak menggalakkan perkongsian ‘ilmu dan kepakaran’ untuk kepentingan negara. Akibatnya, negara tidak mampu membina kekuatan sesuatu kelompok ilmu secara optimum yang boleh memberi manfaat tinggi kepada masyarakat.

Dalam konteks penerbitan, walaupun jumlah penerbitan mulai meningkat, wujud aliran untuk memperbanyakkan penerbitan jurnal antarabangsa terindeks tanpa memberi perhatian kepada kualiti dan etika penerbitan.
Ada yang mengharapkan pelajar siswazah menulis kertas dan ahli akademik sekadar mengedit supaya dapat diterima untuk penerbitan, tujuan dan tumpuan penerbitan semata-mata untuk kenaikan pangkat dan mendapatkan dana ganjaran daripada universiti.

Tradisi dalam penyelidikan dan penerbitan iaitu penerokaan ufuk ilmu dan penerbitan untuk sasaran dan kepuasan akademik bukan lagi menjadi norma budaya akademik. Pengaruh dunia korporat, khususnya pendekatan pengurusan universiti semakin ketara. Walaupun sebahagian daripada pengaruh ini dapat memperkukuhkan pengurusan universiti, ada peralatan pengurusan yang tidak sesuai boleh membawa kesan negatif.

Ahli akademik seharusnya mereka yang cemerlang, pelajar terbaik daripada kelompoknya dan sebahagian pemegang ijazah kepujian kelas pertama. Mereka terus dikembangkan keilmuannya sehingga mencapai ijazah PhD. Oleh itu, sistem pembangunan sumber manusia dan penilaian pencapaian tahunan tidak boleh disamakan dengan kaedah penilaian pegawai kerajaan lain atau pekerja syarikat korporat.



Universiti, sejak awal lagi sudah mempunyai penilaian tersendiri dan telus. Untuk kelompok yang cemerlang, mereka perlu dinilai oleh rakan kesepakaran – tumpuan kepada kualiti bukan kuantiti hasilan, dan perhatian kepada kewibawaan akademik dan bukan kehebatan manipulasi maklumat.

Apakah universiti dan ahli akademiknya tidak mampu mempertahankan nilai teras ketika berdepan dengan arus globalisasi? Jawapannya, nilai teras universiti adalah pegangan dan ‘batas terakhir’ yang perlu diperkukuhkan jika ingin berjaya mengharungi cabaran globalisasi. Nilai teras yang unggul iaitu ‘tidak selesa dengan pencapaian yang ada dan sentiasa mencari kecemerlangan’ meletakkan budaya akademik dalam konteks nilai global yang tiada sempadan negara dan budaya.

Lihat saja, apabila percaya ilmu berada di negara Barat, kita sedia menyediakan diri untuk boleh berbahasa Inggeris dan mencari ilmu ke sana. Begitu juga dengan pelajar kita yang ke Jerman, Jepun dan Korea. Bahasa sekadar alat yang diperlukan untuk meneroka ilmu. Mengejar kecemerlangan juga membolehkan ahli akademik meneroka ufuk ilmu, menyebar luas dan berkongsi pengetahuan dengan sesiapapun.

Ilmu yang tinggi nilainya akan dicari dan dihargai. Amalan sifat ini meletakkan universiti kita pada kedudukan tinggi, tidak perlu strategi untuk mengejar kedudukan. Nilai inklusif atau ‘pengetahuan untuk semua’ dan kepentingan untuk saling berhubung akan memperkukuhkan kualiti dan kecemerlangan akademik. Ahli akademik perlu prihatin mengenai ilmu untuk digunakan bersama bagi kepentingan sejagat.

Mereka perlu tahu perbezaan antara ilmu untuk ‘rakan kesepakaran’, ilmu yang boleh dikongsi bersama ilmuwan lain dan ilmu untuk komuniti dan masyarakat. Ahli akademik yang memegang nilai teras ini dapat membezakan peranannya dalam konteks kepemimpinan untuk pelajar, penyelidikan dan masyarakat. Kerajaan dan pengurusan universiti bertungkus-lumus untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan akademik. Pelbagai rangsangan dan strategi disediakan untuk menjadikan universiti lebih relevan kepada masyarakat pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Mengapa sukar untuk direalisasikan? Jawapannya ialah negara masih ketandusan kepemimpinan akademik dan ahli akademik yang berwibawa. Kita juga belum berjaya membina golongan pelapis akademik yang cemerlang dan menghayati nilai teras universiti.


Penulis ialah Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, UKM

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...