Oleh Azli Ayob dan Ahmad Fiesal Othman
bhbiz@bharian.com.my
ASEAN komited untuk melaksanakan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjelang 2015, mengikut jadual asal yang dipersetujui pertubuhan itu di sebalik beberapa kesukaran ekonomi dihadapi negara anggota berikutan krisis kewangan global.
Menteri Ekonomi Asean pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-16 yang berakhir di Hotel Marriott Putrajaya, semalam sebulat suara menyatakan tidak akan menangguhkan pelaksanaan AEC yang akan mengintegrasikan ekonomi negara anggota, selain dapat memudahkan urusan perdagangan di kalangan anggota Asean.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata halangan yang dihadapi Asean dalam pelaksanaan AEC tidak begitu besar sehingga boleh membawa kepada penangguhan pelaksanaan AEC.
“Perkara yang menjadi halangan ke arah pelaksanaan AEC bukanlah halangan yang asas. Setiap negara kini bekerja keras bagi memastikan pelaksanaan AEC,” katanya pada sidang media di akhir mesyuarat itu, semalam.
Beliau menambah, Asean sememangnya mengakui krisis ekonomi global memberi sedikit kesan terhadap pelaksanaan AEC, tetapi banyak kemajuan dicapai dalam usaha pelaksanaan AEC itu.
“Krisis ekonomi memberikan sedikit impak, tetapi terdapat kemajuan dalam pencapaian usaha melaksanakan AEC itu.
“Setakat ini, boleh dikatakan Asean sudah mencapai tahap kemajuan sehingga 85 peratus ke arah komitmen kami untuk mencapai agenda AEC itu,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan, berkata Asean akan mengadakan hubungan lebih baik dengan Amerika Syarikat (AS) ke arah meningkatkan hubungan perdagangan dengan kuasa besar ekonomi dunia itu.
Bagi tujuan itu, Asean, katanya, akan berkunjung ke AS Mei ini untuk bertemu Anggota Kongres negara itu bagi menjelaskan status ekonomi Asean dan kesungguhan pertubuhan itu dalam mengadakan hubungan baik dengan kuasa ekonomi dunia itu.
“Kita mahu menonjolkan imej Asean yang baik, menjelaskan bahawa Asean adalah sebuah pasaran tunggal yang sesuai dijadikan rakan dagang AS dan rantau ini juga mampu menjadi destinasi pelaburan utama,” katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 28/02/2010)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 4 Mac 2010
bharian: Asean komited laksana Pelan Tindakan AEC
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 04, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan