Rabu, 31 Mac 2010

bharian: 'Tiada keperluan pinda asas Rukun Negara'

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata tiada keperluan meminda perkara pertama Rukun Negara kerana sebarang pindaan hanya akan menimbulkan satu lagi polemik.

Katanya, kepercayaan kepada Tuhan boleh dipegang bersama seluruh rakyat Malaysia iaitu sama ada beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

“Apabila Jawatankuasa Rukun Negara bincang perkara ini dulu, ia mahu dijadikan satu rukun yang akan dipegang rakyat tanpa menentukan mereka mesti menganuti sesuatu agama tertentu,” katanya selepas merasmikan seminar Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.

Jelasnya Rukun Negara sudah lama menjadi pegangan dan dihayati seluruh rakyat Malaysia sebagai salah satu lambang perpaduan yang mesti diteruskan.

Beliau yang juga pengerusi IKIM berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda perkara pertama Rukun Negara memandangkan nama Allah digunakan secara meluas termasuk di kalangan bukan Islam.



Hadi meminta kerajaan mengubah Rukun Negara pertama daripada Percaya Kepada Tuhan kepada Percaya Kepada Allah.

Presiden Persatuan Gabungan India Malaysia, P Mukuntha, berkata Rukun Negara yang diwujudkan sudah diterima baik rakyat negara ini dan sebarang pindaan bukan saja menimbulkan polemik malah akan membawa kepada tuntutan tidak berasas daripada golongan yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Bukan saja masyarakat India sahaja tidak setuju, saya percaya rakyat negara ini ramai yang tidak setuju, tidak baik dia (Abdul Hadi) minta macam ini, inikan negara berbilang kaum, kenapa hendak tukar sedangkan ia sudah diterima sejak sekian lama, kalau nak pinda, baik pinda semua, (termasuk) tukar Raja, lagu Negaraku dan perlembagaan,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman secara sinis menggesa Abdul Hadi meminta rakan dalam pakatannya menukar perkataan God kepada Allah dalam semua kitab Bible mereka terlebih dulu sebelum mencadangkan kerajaan meminda perkara pertama Rukun Negara itu.

“Hadi Awang perlu minta dan yakinkan kawan Kristiannya supaya tukar perkataan God kepada Allah dalam kitab Bible, itu lebih munasabah daripada suruh kerajaan tukar,“ katanya.

Bagaimanapun, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berpendapat cadangan itu baik kerana semua rakyat pelbagai agama menganggap Allah itu sebagai Tuhan mereka.

“Kalau mereka terima Allah sebagai Tuhan nampak Islam diterima semua kaum, lebih sejagat dan rakyat Malaysia akan menerima satu perubahan besar kerana menganggap Allah itu Tuhan mereka juga,” katanya.

Pendapat beliau disokong Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz yang menganggap kalimah Allah kini sudah diterima baik rakyat pelbagai kaum.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...