Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
Keyakinan ini berdasar kepada sejarahnya yang membuktikan keupayaannya sebagai bahasa ilmu
PELBAGAI kemelut yang terpaksa dilalui bahasa Melayu meskipun sumbangannya sebagai bahasa ilmu sudah tercatat sejak kurun ke-17 dan gelombang penolakan tanpa henti meskipun selepas dunia berada di alaf ketiga, masih tidak mematahkan semangat sarjana bahasa untuk melihat masa depan bahasa terbabit.
Pengarah Penerbit Universiti Sultan Idris (Upsi), Prof Ab Hamid Mahmood, berkata bahasa Melayu mampu berdiri dan meneruskan sumbangan sebagai bahasa ilmu selagi ada usaha dilaksanakan secara tekal dan tidak hanya sekadar bermusim untuk memartabatkannya.
“Saya akui fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan negara masih samar akibat sikap sambil lewa sesetengah pihak selain sistem pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan dan teori semata-mata,” katanya
pada Seminar Memahami Kesalahan Bahasa dalam Penerbitan di Hotel Residen, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kajang, baru-baru ini.
Baginya, sejarah silam sudah membuktikan bahasa Melayu berupaya menyumbang sebagai saluran penyebaran persuratan ilmu falsafah di Nusantara dan memainkan peranan penting dalam perkembangan agama Islam menerusi kegiatan penulisan dan persuratan dalam tulisan jawi.
“Malangnya, kedudukan bahasa Melayu sejak akhir-akhir ini, sudah mula dilemahkan kerana sesetengah pihak memandang ringan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dengan menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sudah memadai untuk menguasai bahasa ini.
“Sikap malu menggunakan bahasa Melayu pada majlis rasmi turut membantutkan perkembangan bahasa Melayu. Sekiranya Perdana Menteri Jepun, Itali, Russia dan Perancis bangga menggunakan bahasa rasmi mereka ketika berucap, mengapa rakyat Malaysia takut menggunakan bahasa Melayu dalam negara sendiri,” katanya.
Beliau membidas kaedah pengajaran guru Bahasa Melayu yang mengamalkan tradisi mengajar secara teori dan dilihat sebagai punca ketidakcekapan generasi muda berbahasa Melayu, sekali gus melonggarkan keyakinan mereka terhadap kepentingan bahasa terbabit.
“Sukatan pelajaran Bahasa Melayu peringkat menengah atas terlalu luas dan terperinci sehingga guru menghabiskan masa dengan hanya menumpukan perhatian kepada sesetengah topik, manakala di universiti pula pelajar lebih suka menuntut ilmu dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan buku ilmiah masih dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.
Baginya, sistem pendidikan bahasa Melayu seharusnya dijadikan sebagai sistem pembelajaran yang menyeronokkan kepada pelajar dengan menerapkan aspek praktikal seperti menjalankan aktiviti lakonan untuk mengaplikasi pengunaan ayat mengikut tatabahasa yang betul.
Prof Ab Hamid berkata, kekurangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu turut menyumbang kepada faktor peminggiran bahasa Melayu apabila kebanyakan karyawan tidak berusaha secara serius untuk melakukan penterjemahan karya agung pelbagai bidang dalam bahasa Melayu, sebaliknya menulis laporan ilmiah dalam bahasa Inggeris.
“Saya berharap masalah ini dapat diatasi dengan mengubah tradisi mengajar secara teori. Kaedah teori dan praktikal perlu diperkenalkan di sekolah dan pensyarah memikul tanggungjawab menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu bagi memudahkan pelajar universiti dan kolej memahami bahasa ibunda dalam pelbagai ilmu pengetahuan,” ujarnya.
Beliau turut berharap semua pihak termasuk kerajaan dan swasta memainkan peranan penting membangkitkan semangat bangga berbahasa Melayu dan bersikap positif lagi yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta mampu membicarakan pelbagai bidang ilmu termasuk sains mahupun teknologi.
(Sumber dari Berita Harian, 01/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 4 Mac 2010
bharian: Bahasa Melayu berdiri teguh
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 04, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan