Khamis, 4 Mac 2010

bharian: Minda Pengarang: 'Durian runtuh' Perkeso mampu tingkat produktiviti

KETIKA 206,585 penerima faedah pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat 'durian runtuh' berikutan langkah kerajaan menaikkan bayaran itu antara 0.6 hingga 11 peratus, kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia perlu melakukan lebih banyak lagi penambahbaikan dalam usaha memperjuangkan nasib pekerja. Jika perlu undang-undang sedia ada dipinda, ia harus dilakukan tanpa berlengah dan jika peraturan sedia ada kurang berkesan, maka ia harus diubahsuai. Misalnya, masih ada majikan di negara ini tidak melindungi pekerja mereka berikutan tidak mencarum dalam skim Perkeso. Adalah menjadi tanggungjawab majikan menjaga kebajikan pekerja dan dengan mencarum dalam Perkeso majikan juga mendapat faedahnya kerana mereka akan dilindungi daripada sebarang tuntutan oleh pekerja jika berlaku perkara tidak diingini. Misalnya, sepanjang tahun lalu, 20 peratus majikan dikesan tidak melindungi pekerja mereka. Masalah ini berlaku saban tahun dan mungkin hukuman mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kerana tidak melindungi pekerja, iaitu penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, kurang memadai. Selain itu, pindaan Akta Pekerja 1955 juga perlu disegerakan bagi memastikan pekerja sambilan menerima manfaat seperti pekerja biasa. Pindaan itu, yang diuar-uarkan sebelum ini, akan memberi manfaat kepada kira-kira 6.5 juta pekerja sambilan membabitkan 2.5 juta pelajar, suri rumah (3.2 juta), pesara (300,000) dan 100,000 orang kurang upaya (OKU).

Kita yakin golongan ini akan mula menyertai sektor pekerjaan apabila Akta Pekerja 1995 dipinda yang antaranya menetapkan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso. Pindaan terhadap akta itu penting bagi mengelak negara kita terlalu bergantung kepada pekerja asing dan seterusnya mengurangkan jumlah mereka. Satu lagi aspek yang diperkenalkan Perkeso, iaitu program 'Kembali Bekerja' kepada pencarum yang ditimpa kemalangan ketika bekerja bagi memastikan mereka tidak hilang mata pencarian, pula harus dimanfaatkan majikan. Program ini penting bagi membolehkan mereka yang menerima bantuan Perkeso diberikan latihan kemahiran dalam bidang yang diminati. Dengan berbuat demikian, mereka akan terus memperoleh pendapatan dan tidak mengharap bantuan semata-mata bagi menyara kehidupan keluarga, terutama yang memiliki tanggungan ramai. Banyak majikan tidak mengetahui atau tidak mengambil berat mengenai pentingnya pekerja berpengalaman yang ditimpa kemalangan ini untuk dilatih semula dengan menghantar mereka ke pusat pemulihan disediakan di seluruh negara. Kajian di Australia mendapati setiap dolar dilaburkan untuk tujuan latihan pekerja yang hilang upaya ini, akan mendapat pulangan 30 dolar sebaik saja mereka bekerja semula. Inilah antara kos tersembunyi yang sering dipinggirkan banyak pihak, termasuk majikan.

(Sumber dari Berita Harian, 03/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...