Khamis, 4 Mac 2010

utusan: RMK-10 utamakan pelaburan swasta domestik

PUTRAJAYA 2 Mac – Kerajaan akan mengutamakan pelaburan swasta domestik dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jun ini.

Ia merupakan antara langkah kerajaan untuk menjadikan syarikat swasta tempatan sebagai penggerak ekonomi berbanding hanya mengharapkan kepada pelaburan langsung asing (FDI) bagi pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, syarikat tempatan kini sudah mempunyai keupayaan tertentu dan kerana itu, kerajaan akan membantu dalam beberapa aspek untuk memperkembangkan keupayaan tersebut.

“Bantuan tersebut akan diberi terutamanya dari segi penyediaan infrastruktur dan kemudahan bantuan kewangan,” katanya.

Nor Mohamed berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar `Membentuk Kerjasama Infrastruktur dan Rangka Kerja Bertaraf Dunia Antara Sektor Awam dan Swasta di Malaysia’, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Bahagian Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) Asia Pasifik, Koichi Danno dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Dr. Ali Hamsa.

Seminar anjuran bersama UKAS dan SMBC itu bertujuan memantapkan kerjasama sektor awam dan swasta melalui pengalaman dan kepakaran SMBC.

SMBC adalah sebuah syarikat antarabangsa yang berperanan menjayakan polisi antara kerjasama sektor awam dan swasta selain menyediakan bantuan kewangan.

Sementara itu, kata Nor Mohamed, syarikat swasta tempatan kini mampu beroperasi dengan lebih efisien selain mempunyai kepakaran tertentu terutamanya dari segi teknologi.


(Sumber dari Utusan Malaysia, 03/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...