Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkata, ramalan pertumbuhan yang mahu dicapai adalah sejajar dengan pemulihan ekonomi global.
Beliau berkata: "Suku keempat ekonomi negara 2009 mencatatkan pertumbuhan KDNK positif 4.5 peratus, selepas tiga suku sebelumnya mengalami penguncupan.
''Perangkaan terbaru jualan automotif yang meningkat adalah penunjuk baik bahawa ekonomi dijangka terus kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus untuk tahun ini adalah realistik selepas melancarkan bangunan ibu pejabat korporat baru Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yang dikenali Ikhlas Point, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.
Ditanya tentang bilakah dua lesen untuk pengendali takaful dijangka dikeluarkan tahun ini sebagai tambahan kepada lapan pengendali sedia ada, Awang Adek berkata, pengeluarannya tertakluk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, proses itu dikendalikan oleh BNM dan kerajaan akan membuat pengumuman sewajarnya bila tiba masanya.
"Proses ini adalah normal, pihak BNM perlu menilai penerima yang betul diberikan lesen tersebut.
"Penilaian dibuat berdasarkan pengukuhan kewangan, identiti korporat dan negara yang diwakili memastikan pemain yang bersesuaian di pasaran," ujarnya.
Sementara itu, Sharkawi dalam ucapannya menjangka perniagaan takaful menyumbang RM625 juta bagi tahun kewangan ini berbanding RM580 juta pada tahun kewangan lalu yang mewakili 18 peratus pasaran takaful tempatan.
"Jika aliran pertumbuhan berterusan, kami yakin dapat mengekalkan penguasaan pasaran sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2012," ujarnya.
Sehingga kini, Takaful Ikhlas mempunyai seramai 1.4 juta pelanggan yang mana tujuh peratus adalah golongan bukan Islam.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 02/03/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan