Khamis, 4 Mac 2010

bharian: NKRA atasi jenayah ikut kehendak rakyat

Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan memberi tumpuan membanteras jenayah jalanan, terutama kes ragut dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengurangan jenayah, dibuat atas kehendak rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, masyarakat mahu jenayah itu dibanteras kerana ia boleh mengakibatkan kematian dan kecederaan parah kepada mangsa hingga meninggalkan kesan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada masyarakat.

“Kita sudah mengambil beberapa langkah dan nampaknya ia mula berhasil walaupun inisiatif utama dalam NKRA belum dilaksanakan sepenuhnya apabila kadar jenayah jalanan menurun 13 peratus pada Januari berbanding Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bagi membincangkan tajuk Memerangi Jenayah: Seriuskah kerajaan dalam program di luar lingkungan, dalam Program Soal Jawab yang dihoskan Sayed Munawar, di RTM1, malam tadi Hishammuddin berkata, pihaknya yakin dengan usaha bersungguh-sungguh dan dengan kerjasama orang ramai, sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang 2010 mampu dicapai.

“Kita juga yakin sasaran kerajaan untuk mengurangkan sekurang-kurangnya lima peratus dalam jenayah indeks keseluruhan yang dilaporkan setiap tahun untuk tiga tahun akan datang mampu tercapai,” katanya.

Sementara itu, Idris yang juga Ketua Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) berkata, statistik mendapati rakyat negara ini paling ramai terbabit dalam melakukan jenayah jalanan dan bukannya warga asing.

“Bagaimanapun, pembabitan warga asing dalam kes jenayah jalanan semakin menunjukkan peningkatan,” katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 02/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...