Khamis, 4 Mac 2010

bharian: Majikan digesa sedia pusat asuhan

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mencapai sasaran 60 peratus pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia menggesa sektor swasta menubuhkan Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) di syarikat masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata ketika ini, ramai wanita terpaksa berhenti kerja kerana tanggungjawab menjaga anak berikutan kebanyakan tempat kerja tidak menyediakan kemudahan PAKK.

“Ibu yang bekerja mempunyai hak mengemukakan tuntutan kepada majikan untuk menyediakan PAKK sama ada secara individu atau melalui kesatuan. Walaupun tiada dasar mewajibkan sektor swasta menyediakan kemudahan ini, PAKK amat penting bagi membolehkan wanita bekerja dalam keadaan selesa.

“Ketika ini, hanya 46 peratus wanita yang bekerja walaupun masih ramai berpotensi untuk bekerja, terpaksa berhenti kerana kekangan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Balai Berita, di sini, semalam.

Sempena lawatan itu, Maznah turut meluangkan masa sejam mengikuti sesi soal jawab bersama pembaca Berita Harian secara dalam talian serta memberi taklimat mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.

Dalam sesi soal jawab selama sejam itu, kebanyakan pembaca mengemukakan soalan mengenai kursus untuk pembantu rumah serta hak pekerja dalam mendapatkan pampasan jika berlaku kemalangan di tempat kerja selain masalah pengangguran.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid; Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mahfar Ali dan Pengarang Eksekutif (Rencana) BHSB, Norhayati Md Said.

Mengulas lanjut, Maznah berkata, kementerian juga sedang berunding dengan wakil majikan untuk menggalakkan mewujudkan PAKK dan melaksanakan tinjauan di tempat pekerjaan supaya perkara itu mendapat perhatian majikan keseluruhannya.

“Kita faham ada sesetengah syarikat tidak mempunyai kawasan untuk membina PAKK dalam premis mereka namun pusat ini boleh diwujudkan secara berkongsi dengan syarikat lain di sekitarnya bagi manfaat semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata, pihaknya giat mempromosikan isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana banyak pihak yang tidak peka dengan hak masing-masing.

“Jika berlaku kemalangan di tempat kerja, ramai tidak melaporkan kes kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) sedangkan ia langkah penting bagi memastikan persekitaran kerja selamat,” katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 02/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...