Khamis, 4 Mac 2010

bharian: Kecintaan jadi warga Malaysia tidak luntur

Oleh Abd Razak Hussin

BEBERAPA minggu lalu, penulis menaiki pesawat dari Kota Kinabalu pulang ke Kuala Lumpur. Pesawat milik negara itu bertolak dari Guilin di China dan singgah di Kota Kinabalu. Selepas pesawat mencecah landasan dan bergerak menuju terminal, ketua pramugari membuat beberapa pengumuman seperti biasa.

Beliau mengucapkan selamat datang ke Malaysia untuk pelancong dan pelawat luar negara. Seterusnya beliau mengucapkan: "Buat warga negara Malaysia, kami mengucapkan selamat kembali ke tanah air."

Meskipun ungkapan ini sering didengar, pada kali ini, amat memberi kesan. Penulis mula melihat sekeliling dan ternyata, separuh daripada penumpang pesawat terdiri daripada rakyat Malaysia, sama ada pulang daripada melancong, urusan rasmi dan perniagaan, bekerja di negara lain dan mungkin juga melanjutkan pengajian.

Walaupun ucapan itu ringkas saja, kali ini benar-benar memberi keinsafan. Kadangkala kita tidak menyedari bahawa kita ada tanggungjawab tertentu kepada tanah air kita sendiri. Kita ada akar dan jati diri yang harus terus kita kembali kepadanya.

Di tanah air lah kita mengenal erti kemerdekaan, walaupun barangkali kita sering mempersoalkannya. Di tanah air lah kita belajar erti kebebasan, meskipun kita sering mempertikaikannya.

Dalam pengalaman bertemu rakyat Malaysia yang lama bermastautin di luar negara, biarpun barangkali mereka lebih makmur, mereka tetap menyatakan kerinduannya kepada tanah air. Sebahagiannya sudah menjadi warga negara di negara tempat mereka tinggal dan bekerja sekarang.

Namun di sudut hati mereka tetap ada Malaysia yang dirinduinya. Walaupun mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat semasa mengenai Malaysia daripada pelbagai sumber, mereka masih bertanya mengenai Malaysia ketika kami bertemu. Sama ada untuk memperoleh maklumat daripada sumber segar yang baru datang dari Malaysia atau hendak menguji pendirian terhadap sesuatu isu.

Justeru, apabila bertemu rakyat Malaysia yang bertanya mengenai perkembangan Malaysia, penulis berpendapat mereka sebenarnya masih sayangkan tanah airnya. Baru-baru ini, dalam kesempatan bertemu seorang profesor bekerja di sebuah universiti di Amerika yang berasal dari Kelantan, berkahwin dengan orang tempatan dan menjadi warga negara Amerika, tetapi masih berminat mengetahui perkembangan di Malaysia, masih rindu dan gemarkan masakan Melayu, termasuk budu dengan bangga bertutur dalam loghat Kelantan yang pekat serta sesekali akan pulang ke kampung halaman.

Demikian juga apabila bertemu seorang rakyat Malaysia yang sudah berhijrah serta berniaga di Australia lebih 10 tahun, tetap mengatakan Malaysia masih menjadi tanah destinasinya untuk menempuh alam tuanya nanti.

Beliau lebih menyebutkan mengenai ruang dan kesempatan untuk mendalami ilmu Islam pada suatu masa nanti yang baginya lebih baik di Malaysia. Penulis tidak kurang bertemu rakyat Malaysia yang bukan sedikit bilangannya bekerja di negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Qatar dan Bahrain.

Meskipun, rata-rata motif penghijrahan mereka lebih dipengaruhi faktor ekonomi yang melihat mereka memperoleh lebih 10 kali ganda gaji dan kemudahan, akhirnya mereka mengatakan satu masa nanti mereka akan pulang ke tanah air untuk menetap terus.

Di England, kita akan menemui ramai rakyat Malaysia yang bekerja sebagai profesional sama ada menjadi jurutera, doktor, arkitek, akauntan dan bidang lain. Pengalaman penulis bertemu mereka, jika ditanyakan secara jujur, sebenarnya mereka lebih gembira untuk pulang ke tanah air seandainya sebahagian besar daripada keperluan mereka sebagai individu dapat dipenuhi.

Pengalaman peribadi penulis ketika bertemu seorang rakyat Malaysia berketurunan Cina yang bekerja sebagai seorang doktor di Barat sejak tujuh tahun dan berkahwin dengan seorang wanita Inggeris, sangat menarik.

Untuk membuktikan beliau seorang rakyat Malaysia, beliau mengucapkan salam, walaupun beliau tidak beragama Islam. Beliau mengatakan, memang sengaja mengucapkan lafaz salam sebab baginya itu adalah identiti orang Malaysia, selain beliau suka dengan ucapan itu dan rindu untuk bertutur dalam bahasa Melayu yang sudah jarang digunakan.

Dalam perbualan itu, beliau menyebut kemungkinan suatu masa nanti, beliau akan kembali dan terus tinggal di Malaysia. Kalaulah kita ingin mencari kesempurnaan yang bersifat total dan tuntas, di mana pun kita berada kita tidak akan menemuinya.

Di Malaysia, mungkin ada saja yang tidak memberi kepuasan kepada kita. Di negara yang kita lawati atau yang kita tinggal sekarang juga pasti ada yang tidak mampu memberi kepuasan kepada kita. Namun penulis percaya, semua rakyat Malaysia, yang berasal dari Malaysia atau yang pernah menjadi warga negara boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuknya.

Kita boleh menyuarakan ketidakpuasan hati kita kepada pihak yang berkaitan menerusi saluran disediakan. Kini, kita boleh berinteraksi secara terus dengan pemimpin kerajaan dan perkhidmatan awam. Penulis yakin, sekurang-kurangnya kegelisahan dan keresahan kita akan didengari. Kecintaan kepada tanah air adalah dengan membinanya, bukan meruntuhkannya.

Bak kata pepatah Melayu, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah di negeri sendiri'. Ungkapan 'Selamat kembali ke tanah air' sesekali akan meresap dan memberi kesan di dalam jiwa. Justeru seringlah melafazkannya.

Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat UKM

(Sumber dari Berita Harian, 04/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...