Khamis, 4 Mac 2010

bharian: Apakah Melayu juga hampa hingga sanggup berhijrah

Oleh Rejal Arbee

Dakwaan pelbagai dasar tak disenangi perlu dikaji elak jejas kemajuan negara

DALAM tempoh dua tiga bulan ini banyak diperkatakan mengenai penghijrahan rakyat ke luar negara atas pelbagai sebab khususnya kerana tidak dapat menerima beberapa dasar dan perlakuan yang dituduh terlalu mengutamakan Melayu hingga bukan Melayu didiskriminasikan. Maka tidak menghairankan kebanyakan mereka ini terdiri daripada bukan Melayu.

Tetapi, terakhir ini timbul pula pendedahan bahawa orang Melayu juga kini semakin ramai berhijrah. Pendedahan ini bukan dibuat oleh sembarangan orang, tetapi daripada seorang pemimpin yang disegani, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh tidak pula memperincikan jumlah Melayu yang berhijrah itu, tetapi mendakwa orang Melayu sendiri kini berasa kecewa dan hampa dengan keadaan dalam negara serta pelbagai perkembangan yang tidak disenangi sejak akhir-akhir ini

Kesimpulannya tentulah ada yang tidak kena dengan apa yang sedang melanda negara yang berasal sebagai negeri Melayu ini kiranya orang Melayu sendiri mula berpindah keluar, katanya.

Beliau memberi gambaran yang amat tidak menyenangkan mengenai pelbagai perkembangan dalam negara ketika ini. Antaranya ialah hubungan kaum yang semakin rapuh, perlakuan jenayah semakin menjadi, gejala rasuah yang tidak berkesudahan hinggakan dua enjin jet kapal terbang tempur TUDM pun boleh lesap selain kapal selam yang baru diterima, tidak boleh selam.

Juga disebutnya beberapa hal yang berlaku sejak akhir-akhir ini berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah yang tidak disenangi sesetengah pihak. Antaranya hukuman sebat ke atas tiga wanita kerana mengadakan hubungan kelamin di luar nikah dan kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah oleh puak gereja.

Perlakuan demikian ditambah beberapa tindakan berhubung kait dengan agama memberi gambaran negatif terhadap negara ini di mata dunia kononnya Malaysia semakin tidak toleran dan mungkin akan terjerumus menjadi sebuah negara Islam 'ekstrem' dan tidak lagi boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam sederhana. Tetapi apakah benar kita sudah menjadi seperti Somalia atau Pakistan?

Malah ada yang menuduh kononnya apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang kiranya tidak ditangani dengan baik, boleh menjerumuskannya menjadi sebuah negara gagal seperti Zimbabwe, iaitu sebuah negara ketika wujud sebagai Rhodesia adalah sebuah negara maju di Afrika, tetapi kini terjerumus sebagai sebuah negara yang tidak terurus dengan kadar inflasi mencecah sehingga 230 peratus dan kadar pengangguran sehingga 80 peratus.

Malah beberapa laman web mendakwa penghijrahan cerdik pandai Malaysia ke luar negara semakin menjadi. Dikatakan pada 2007, seramai 140,000 cerdik pandai berpindah keluar dan angka itu berlipat ganda kepada lebih 300,000 tahun lalu.

Kebanyakan mereka terdiri daripada bukan Melayu dan berhijrah ke luar negara kerana beberapa perlakuan yang tidak menyenangkan itu akhir-akhir ini. Antaranya yang diperincikan selain daripada dasar terlalu memihak Melayu hingga kononnya menindas bukan Melayu ialah kelemahan sistem persekolahan dan pembelajaran yang sudah ketinggalan zaman serta terhakisnya hak asasi individu.

Portal berita itu juga mendakwa dalam tempoh setahun dua ini semakin ramai golongan profesional Melayu pula berhijrah konon kerana tidak senang dengan pelaksanaan undang-undang syariah yang mengongkong hingga menggambarkan betapa semakin tidak tolerannya pihak berkuasa agama terhadap rakyat selain semakin berleluasanya gejala rasuah.

Dikatakan juga sehingga 40 peratus bukan Melayu yang berhijrah menuju ke Singapura. Apa yang boleh disimpulkan daripada gejala ini, ialah bukan Melayu itu menganggap mereka akan lebih terbela di Singapura dan Melayu dikatakan semakin terpinggir.

Dalam pada itu Persekutuan Majikan Malaysia pernah menyebut seramai 785,000 rakyat negara ini bekerja di luar negara, walaupun angka tidak rasmi mencecah lebih sejuta (dan 40 peratus daripada mereka itu bekerja di Singapura termasuk yang berulang alik setiap hari).

Yang menjadi persoalan ialah kita mengimport hampir tiga juta pekerja asing sebagai buruh binaan dan perladangan, pekerja kilang, pembantu rumah dan pelayan restoran dan lain-lain pekerjaan 'kasar' tetapi mengeksport beratus ribu cerdik pandai.

Ada yang menganggap gejala penghijrahan profesional dan pakar Melayu ini adalah suatu perkembangan yang boleh mencemaskan kalau tidak ditangani dengan baik dan berkesan, tetapi ada juga yang mengatakan ini menunjukkan kebolehan Melayu juga sudah diiktiraf hingga ada majikan luar negara sanggup menawarkan pekerjaan.

Satu masalah dihadapi banyak lulusan profesional di sini ialah pendapatan yang tidak banyak berubah dalam tempoh bertahun-tahun ini. Kerajaan berhasrat meningkatkan negara sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Tetapi dalam pada itu banyak majikan masih memberi gaji yang tidak banyak berubah sejak bertahun-tahun lalu hingga tidak dapat bergerak sama dengan peningkatan kos sara hidup.

Maka itulah seorang lulusan profesional pun kini menghadapi kesulitan untuk menyara dirinya jangankan mahu menyimpan atau melabur. Kita harus lihat kenapa perkara ini berlaku. Kerajaan sendiri harus memberikan perhatian serius terhadap gejala ini supaya penghijrahan demikian tidak akan menjejas usaha memajukan negara kerana kehilangan bakat yang amat kita perlukan.

(Sumber dari Berita Harian, 04/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...