Khamis, 4 Mac 2010

bharian: Bunuh zuriat murtad: Mufti

Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my


Umat Islam jadi kufur jika halalkan buang, hapus bayi

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama berbeza pendapat mengenai hukum murtad bagi umat Islam yang berfikiran waras tetapi membuang bayi atau membunuh zuriat seperti dibangkitkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata murtad atau terkeluar dari Islam hanya akan berlaku jika individu berkenaan berniat mengatakan hukum membunuh atau membuang bayi itu tidak haram.

“Kita tidak boleh kata mereka murtad kalau mereka tidak lafazkan atau berniat tetapi jika mempunyai niat untuk mengatakan perbuatan mereka itu tidak haram, itu dikira murtad.

“Perbuatan membunuh atau membuang bayi atau meminum arak adalah dosa besar tetapi tidak sampai ke tahap murtad kerana mereka tidak menafikan hukum Allah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya undang-undang syariah dan sivil dikuatkuasakan dengan tegas bagi membendung kegiatan tidak bermoral itu.

Semalam bercakap kepada Bernama, Hassan berkata umat Islam yang siuman dan tidak mengalami cacat akal yang membuang bayi atau membunuh zuriat mereka dianggap sudah terkeluar dari agama Islam atau murtad.

Beliau berkata, ia kerana perbuatan kejam mereka seolah-olah menghalalkan perkara yang haram dan ditegah oleh Islam.

“Kita semua mengetahui bunuh ialah satu perbuatan haram dan berdosa terutama yang menjadi mangsa ialah anak dan zuriat mereka sendiri.

“Walaupun mereka orang Islam tetapi mereka masih melakukan pembunuhan kerana gagal mengawal emosi yang mana mereka menambah dosa lampau yang dilakukan iaitu zina,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Muzakarah Pakar Memperkasakan Undang-Undang Berkaitan Islam: Peranan Majlis Agama Islam Negeri di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini.

Beliau turut menasihati golongan muda supaya mendalami ilmu dan berpegang kepada ajaran agama Islam supaya tidak terus hanyut dengan nafsu muda.

Sementara itu Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid turut berpendapat seseorang itu kufur jika seandainya mereka mengatakan bahawa membunuh atau meminum arak itu halal, sekali gus cuba merubah hukum Allah.

Bagaimanapun, katanya jika individu berkenaan tidak berniat untuk keluar Islam, mereka tidak boleh dikatakan murtad.

“Begitu juga jika seseorang itu mengakui solat itu wajib tetapi malas untuk mengerjakannya, mereka tergolong dalam golongan yang melakukan dosa besar tetapi jika cuba mempertikaikan hukum solat itu wajib, mempertikaikan berzina itu haram, ertinya mereka mempertikaikan hukum Allah sekali gus menjadikan mereka murtad,” katanya.

Mohd Tamyes juga menyifatkan individu yang tergamak melakukan perbuatan itu adalah mereka yang ada masalah mental dan tidak mempunyai pemikiran yang siuman.

Ia kerana, katanya individu yang berfikiran normal dan sihat akal fikiran mampu menilai apa yang baik dan apa yang buruk untuk diri mereka dan masyarakat.

Katanya, semua pihak perlu kembali kepada hukum Allah jika berhasrat untuk membendung kegiatan tidak bermoral yang dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat.

(Sumber dari Berita Harian, 03/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...