BANK Negara Malaysia akan menaikkan kadar faedah secara terancang dan berperingkat bagi memastikan kadarnya terus menyokong kegiatan ekonomi negara, kata Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Bercakap kepada pemberita selepas ceramah di Goethe University, di Frankfurt, Jerman, beliau berkata, tekanan inflasi ketika ini kekal sederhana, justeru, bank pusat itu tidak tergesa-gesa untuk menamatkan dasar kewangan yang menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Ia akan dilakukan secara terancang dan berperingkat. Kadar faedah akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Kadar faedah diturunkan ke paras semasa bagi mengelakkan kemelesetan dan ia sudah dicapai. Justeru, jika kami mahu mengembalikan kadar faedah ke paras yang sesuai, kadarnya akan terus berada pada paras yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.
Januari lalu, Bank Negara berkata ia akan meningkatkan kadar faedah ke paras yang sesuai, selepas kadar itu dikurangkan daripada 3.5 peratus ke paras terendah dua peratus ketika berlakunya krisis kewangan global.
Tinjauan oleh Reuters minggu lalu mendapati 12 pakar ekonomi menjangka kenaikan kadar faedah 0.25 peratus menjelang Mei ini, sementara empat lagi menjangka perubahan itu akan dibuat pada 4 Mac ini.
Ditanya sama ada ahli ekonomi adalah silap untuk menjangkakan penurunan dalam kadar faedah minggu ini, Zeti berkata: "Mereka seharusnya menunggu keputusan yang akan dibuat hanya dalam tempoh beberapa hari saja lagi.
"Sebarang perubahan akan dilakukan secara terancang."
Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus dalam suku keempat tahun lalu berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, iaitu lebih tinggi daripada yang dijangkakan.
Zeti menyifatkan ekonomi Malaysia kini berada pada arah aliran meningkat.
"Pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus bagi tahun ini boleh dicapai berdasarkan kepada prospek lebih baik yang ditunjukkan semua perangkaan utama," katanya sambil menegaskan bahawa di sebalik perkembangan itu, tiada tanda yang menunjukkan akan berlakunya tekanan inflasi.
"Ketika ini Inflasi berada pada paras yang paling rendah, dan kami menjangkakan ia akan kekal sederhana walaupun terdapat kemungkinan berlaku kenaikan," katanya.
Zeti juga berkata, perubahan dalam keperluan rizab berkanun bank bukan sebahagian daripada proses mengembalikan kadar faedah ke paras normal.
Bank Negara menurunkan keperluan rizab berkanun bank tempatan sebanyak tiga peratus kepada satu peratus antara November 2008 hingga Februari 2009.
"Dengan mengurangkannya, kami mengurangkan kos bank dan sebab itu apabila kami menurunkan kadar faedah, mereka boleh memindahkannya kepada peminjam dengan mengenakan kadar faedah yang rendah.
"Justeru, kami tidak akan menimbangkan (untuk mengubah) keperluan rizab berkanun, kecuali jika negara berdepan keadaan terdapatnya lebihan kecairan yang keterlaluan dalam sistem perbankan," katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Zeti berkata Bank Negara tidak akan kembali kepada sistem kadar tukaran tetap.
"Saya tidak memihak kepada langkah itu. Perdagangan adalah penting dan kami mahu lebih kestabilan," katanya apabila ditanya mengenai kadar tukaran asing dan hubungan perdagangan antara negara Asia. ? Reuters
(Sumber dari Berita Harian, 03/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 4 Mac 2010
bharian: Bank Negara naikkan kadar faedah secara terancang
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 04, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan