KENAPA penting membangunkan penduduk Melayu di Pulau Pinang? Rekod menunjukkan Melayu adalah 41.3 peratus daripada penduduk negeri itu (Cina 43 peratus manakala India 10 peratus). Ketika populasi Melayu di daerah barat daya ialah 61 peratus tetapi pemilikan tanah mereka kurang 10 peratus manakala di daerah timur laut 40 peratus namun pemilikan tanah/hartanah kurang dua peratus.
Purata pendapatan sekeluarga di Pulau Pinang pada 1999 ialah RM3,126 (Cina RM3,784, India RM2,895 dan Melayu RM2,427). Pada 2004, puratanya meningkat RM3,531 (Cina RM4,268, India RM2,687 dan Melayu RM2,856). Kebanyakan Melayu bekerja dalam sektor berpendapatan rendah seperti operator kilang, 'bell-boy' hotel, pemandu dan tukang kebun di kilang atau hotel.
Terlalu sedikit orang Melayu berniaga. Usahawan Melayu sebahagian besar (83 peratus) penjaja tepi jalan, peniaga pasar malam dan Pasar Tani manakala kontraktor Kelas F dengan purata pendapatan RM2,100 sebulan. Terlalu sedikit Melayu terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana iaitu 137 orang berbanding 1,036 Cina.
Komuniti Cina dan India juga mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mantap masing-masing 1,430 dengan nisbah 1 NGO:410 orang manakala India ada 290 NGO dengan nisbah 1 NGO:473 orang. Tetapi NGO Melayu ada 399 dengan nisbah 1 NGO:1,346 orang. Namun, berdasarkan pertumbuhan pertumbuhan penduduk di Pulau Pinang, pecahan peratusan kaum pada 2020 dijangka berubah iaitu Melayu 43.7 peratus, Cina 37 peratus manakala India 9 peratus.
Adakah dengan jumlah itu mempamerkan kata-kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menyatakan beliau sentiasa memberi keutamaan kepada semua kaum dan tidak langsung menjalankan pilih kasih dalam pentadbirannya. Perbezaan jurang pendapatan antara kaum sepatutnya di jadikan rujukan untuk memperbaiki kelemahan sistem pentadbiran, bukannya hanya tahu bercakap dan cuba 'menegakkan benang basah'.
"Pulau Pinang adalah penyumbang kedua terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berdasarkan angka di atas maka adalah penting supaya taraf sosioekonomi komuniti Melayu yang menjadi majoriti menjelang 2020, dinaikkan sama parasnya dengan kaum lain. Hanya dengan menyelesaikan isu asas sosioekonomi sekarang maka kita mampu mewujudkan harmoni dan rasa saling menghormati tulen di kalangan masyarakat majmuk," kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Rizal Faris Mohideen Kadir.
"Keadilan dan kesamarataan pengagihan kekayaan tidak akan dicapai selagi struktur sosial dan ekonomi dibahagi mengikut kaum dan pada masa sama satu kaum yang majoriti jauh ketinggalan dalam aspek kemakmuran ekonomi, tahap kehidupan serta pencapaian dalam pendidikan, pendapatan, pemilikan hartanah dan lain-lain.
"Selama 50 tahun sudah berlalu, Kita tidak boleh membiarkan masalah ini diabai, tidak ditangani. Mesti ada daya usaha bersungguh-sungguh untuk melakar satu pelan yang holistik untuk menangani isu dan kita pun tidak ada banyak masa. 2020 hanya kira-kira 10 tahun dari sekarang. Kita cuma ada Rancangan Malaysia iaitu RMK-10 dan RMK-11 menjelang 2020," katanya.
Beliau berkata, isu ini tidak wajar dipolitikkan sebaliknya perlu ditangani secara intelektual tanpa takut atau memihak serta bebas daripada pengaruh prejudis politik atau kaum.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohd Fadzill Hassan, berkata ada 2,008 kontraktor Melayu di negeri itu dan 1,370 daripadanya Kelas F manakala 103 lagi Kelas A.
"Di Seberang Prai Utara, kontraktor Melayu di sana mendapat dua hingga tiga kontrak setahun tetapi kontraktor Melayu di Timur Laut ini tiada cabutan undi pun sepanjang tahun lalu. Tetapi lebih 50 peratus (430 orang) kontraktor di Timur Laut tidak dapat sebarang kerja, tahun lalu. Jadi, kontraktor Melayu di negeri ini tersepit. Projek Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang ialah pembinaan jambatan kedua bernilai RM4 bilion yang sudah bermula. Bagaimana kontraktor Melayu Pulau Pinang hendak bersaing dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bersaiz gergasi dalam projek itu?
"Konsortium kontraktor Melayu ketika proses melebarkan Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini mendapat kontrak kira-kira RM30 juta daripada RM500 juta kos keseluruhan. Kami bersyukur. Tetapi untuk projek jambatan kedua bernilai RM4 bilion, kontraktor Melayu Pulau Pinang tidak mendapat apa-apa kontrak pun. Ini projek kerajaan tetapi GLC masuk dan kami terpaksa bersaing dengan mereka dan apakah yang kami dapat setakat ini daripada projek itu? Jadi kami meminta kerajaan mengkaji semula amalan ini dalam projek kerajaan lain pada masa akan datang," katanya.
Mohd Fadzill turut mempertikaikan kenyataan Guan Eng, yang menyatakan kerajaan negeri memberi 70 peratus kerja kepada kontraktor Melayu di negeri itu.
"Apa yang dia beri 70 peratus kerja kepada kontraktor Bumiputera adalah dari segi kontrak. Itu memang betul tetapi persoalannya berapa nilai kontrak itu? Kebanyakan yang dapat kontraktor Kelas D dan F. Kita faham dia ini (Guan Eng) akauntan. Dia (pandai) main angka. Saya cabar (Ketua Menteri) berilah berapa angkanya (nilai projek).
"Kami dapat tahu ada projek RM70 juta diberi kepada syarikat bukan Bumiputera. Kerja bagi kontraktor Kelas D tidak lebih RM5 juta manakala Kelas F maksimum RM200,000. Tetapi saya tahu, kerja yang diberi kepada kontraktor Kelas F dalam hal ini tidak lebih RM10,000. Jadi, kita minta kerajaan beri angka yang betul dan telus. Apa yang dia cakap, tak serupa bikin," katanya.
Beliau turut mendakwa kerajaan negeri memanggil tender tidak mengikut prosedur dengan syarikat hanya menggunakan CIDB dan tidak perlu lesen PKK.
"Kami sudah berjumpa Timbalan Ketua Menteri (Mansor Othman) dan sudah bagi surat (memorandum) tetapi dia peduli apa. Dia berkuasa sekarang ini. Kalau dia sendiri tak hendak ikut peraturan dan prosedur (Kerajaan) Persekutuan, jangan harap Persekutuan nak bantu (atau) nak bagi projek kepada (kerajaan) negeri.
"Kelas F bukan Bumiputera saja. Tetapi jika CIDB saja pun boleh digunakan maka (kontraktor) bukan Bumiputera pun boleh masuk tender. Jadi, di mana kerajaan negeri yang dikatakan membantu kontraktor Bumiputera? Cakap tak serupa bikin," katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan negeri bersikap lebih telus dalam pembahagian kontrak kepada semua kaum dan bukannya menabur janji manis dan bermain dengan kata-kata yang akhirnya akan memakan diri sendiri.
(Sumber dari Berita Harian, 02/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 4 Mac 2010
bharian: Usahawan, kontraktor Bumiputera dijadikan mangsa mainan angka, retorik Ketua Menteri
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 04, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan