Oleh Suzianah Jiffar
Konvoi tiga hari Timbalan Menteri Pelajaran lawat empat sekolah di pedalaman Sabah
MEREDAH hutan tebal, sesat di belantara, mendaki lima bukit, menuruni lurah curam, meniti tebing gaung, mengharung anak sungai, menolak perahu, menepis pacat dan menahan nafas melihat ular melintas adalah warna-warni yang melingkari pengembaraan tiga hari bersama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ke Saliliran di Pensiangan, Sabah 22 hingga 25 Februari lalu.
Mulanya saya agak cuak ketika ditanya ketua biro sama ada sanggup mengikuti tugasan itu. Walaupun berasal dari Sabah, saya tidak pernah menjejak kaki ke Saliliran. Selepas meneliti peta Pensiangan dan melihat laluan berliku yang bakal diredah, saya suarakan kesanggupan kerana sebagai wartawan, cabaran adalah sebahagian daripada pengalaman.
Konvoi bertolak dari Kota Kinabalu menaiki kenderaan pacuan empat roda kira-kira jam 2 petang dan tiba di Kampung Kuala Salung di Nabawan kira-kira jam 9 malam, dengan jarak perjalanan kira-kira 600 kilometer (km). Anggota rombongan lelaki bermalam di bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Salung, manakala golongan wanita di rumah guru.
Walaupun kepanasan kerana tiada bekalan elektrik dan beralaskan kain batik di lantai simen serta berbantalkan beg, kami dapat juga melelapkan mata sebelum memulakan perjalanan panjang.
Keesokannya, kami berkumpul di jeti Kampung Kuala Salung pada jam 6.30 pagi bagi misi melawat empat sekolah. Deretan perahu menunggu dengan hanya dua orang dibenar menaiki satu perahu, selain tiga pengemudi.
Selepas dua jam, kami tiba di penambang dan meniti anak tangga sebelum tiba SK Logongan, Mohd Puad menghabiskan masa setengah jam menemui guru dan murid untuk bertanya khabar serta melihat sendiri persekitarannya. Perjalanan diteruskan ke tiga lagi sekolah iaitu SK Tinanduk, SK Pensiangan dan SK Sibangali, dengan perjalanan ke setiap destinasi mengambil masa kira-kira dua jam.
Oleh kerana setiap sekolah itu berada di atas bukit, ada yang tercungap-cungap mendaki selain ada yang bergurau menyatakan ia adalah latihan sebelum cabaran berikutnya. Keadaan mulai mencabar apabila perahu meninggalkan penambang SK Sibangali untuk ke Kampung Sinapar, iaitu jeti terakhir merentasi sungai sebelum ke Kampung Saliliran.
Disebabkan sungai cetek, kami terpaksa turun menolak perahu yang juga pengalaman pertama sepanjang hidup saya. Kejernihan sungai menyebabkan penat kurang terasa. Malah, Mohd Puad turut membantu menyorong dan menarik perahu dinaiki.
Rombongan tiba di Kampung Sinapar kira-kira jam 5.30 petang dan setengah jam kemudian, bermula pengembaraan episod kedua. Langkah diatur untuk ke SK Saliliran sejauh kira-kira 12km yang dipenuhi dengan merentas bukit, belantara dan sungai.
Kami diberitahu penduduk setempat yang biasa dengan laluan berkenaan melakukannya dalam tempoh empat hingga lima jam, tetapi hati saya kuat mengatakan kami memerlukan lebih lama daripada itu.
Bukan sekali dua kami berhenti mengambil nafas selepas tercungap-cungap meredah hutan, mendaki lebih lima bukit dan menyeberangi anak sungai. Kepekatan malam juga bermakna pacat riang melompat di sepanjang jalan dan sesekali keriuhan bertukar sepi apabila anak ular menyusur melintasi laluan.
Mujurlah barang yang dibawa diangkut porter dengan upah RM50. Mana tidaknya, setiap kali tiba di lereng bukit yang curam dan licin, kami terpaksa mengimbangi badan supaya tidak jatuh ke gaung. Ranting kayu menjadi tongkat, manakala sinar lampu suluh ligat mengesan kalau-kalau ada lagi pacat mencari betis untuk menjadi sumber makanan.
Meredah belantara dan bukit tanpa mengetahui di mana hujung dan pangkal, memang mencabar. Sesekali saya bertanya kepada porter berapa jauh lagi perjalanan perlu ditempuh dan beliau menjawab: "Jauh lagi kak, mungkin jam dua pagi baru sampai."
Saya berhenti bertanya kerana tidak mahu memikirkan berapa banyak bukit perlu didaki, setebal mana belantara harus diredah atau berapa sungai akan direntasi. Sedang asyik menuruni lereng bukit curam, porter yang mengiringi saya bersama tiga rakan media lain tiba-tiba berkata: "Lain macam jalan ni. Saya rasa kita sesat."
Bagaimana perasaan anda jika mendengar ayat itu di tengah hutan, di tengah malam dan kepenatan?
Kami teruskan perjalanan (tanpa mengetahui tujuan sebenar) dan kira-kira 15 minit kemudian, terserempak rombongan Mohd Puad. Rupa-rupanya, porter mereka turut kehilangan arah. Kami memutuskan untuk bergerak seiring dan 10 minit selepas itu, porter di belakang mengarahkan kami berpatah balik sebaik mengesan laluan yang betul.
Lima minit berikutnya, kami bertembung dengan sekumpulan anggota tentera yang bertugas menjaga sempadan Malaysia-Kalimantan. Rupa-rupanya, mereka diarah 'menyelamatkan' kami selepas diberitahu ada rombongan Timbalan Menteri sesat di hutan.
Kami berjalan lagi kira-kira 15 minit sebelum berehat di kawasan lapang dan diberi makanan serta minuman. Sekalipun letih, Mohd Puad memutuskan perjalanan perlu diteruskan. Isteri beliau, Dr Rubiah Leman, turut mengangguk dan berkongsi semangat juang tinggi seperti suaminya.
Sebaik tenaga pulih, langkah kembali diatur dan kira-kira setengah jam kemudian, sejarah peribadi tercatat ? kami menjejakkan kaki ke Kampung Saliliran dalam keadaan rambut kusut, pakaian dibasahi peluh dan tubuh diseliputi lumpur.
Sekalipun tiba jam 11.50 malam, penduduk kampung dan murid lengkap beruniform sekolah riuh menyambut kami. Gong dipalu bertalu-talu dan tarian tradisional suku kaum Murut yang menjadi santapan mata menghilangkan kepenatan perjalanan.
Kami bersalaman dengan penduduk kampung yang berbaris menunggu rombongan Timbalan Menteri Pelajaran sebelum ke sebuah dewan kecil untuk menikmati juadah.
Sebagai menghormati tradisi masyarakat setempat, kami berendam seketika di anak sungai untuk membersihkan diri walaupun jarum jam sudah menginjak ke satu pagi. Kami bermalam di rumah guru beralaskan 'sleeping bag' dan bantal yang disediakan kira-kira jam 1.30 pagi. Rasanya, itulah lena paling bermakna bagi sebahagian besar daripada kami.
Esoknya, Mohd Puad bertandang ke SK Saliliran dan meninjau kemudahan kelas, bilik guru dan rumah guru. Bekalan elektrik sekadar bergantung kepada tenaga solar hibrid manakala bekalan air daripada sumber paip graviti.
(Sumber dari Berita Harian, 03/03/2010)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 4 Mac 2010
bharian: Meredah belantara, laluan berbukit tinjau murid, guru di Pensiangan
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 04, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan