Khamis, 4 Mac 2010

bharian: KPT sasar 5 peratus lepasan IPTA sertai perniagaan

LANGKAWI: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mensasarkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menceburi bidang keusahawanan mulai tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata usaha berkenaan sejajar langkah KPT mewujudkan Unit Keusahawanan dan menjalin kerjasama dengan semua universiti tempatan serta seluruh Asean.

"Setakat ini bilangan graduan universiti awam yang berniaga semasa belajar di kampus sangat kecil, malah bilangan mereka yang menceburi bidang usahawan adalah sekitar 2.4 peratus saja.

"Menerusi usaha KPT dengan kerjasama IPTA, kita mensasarkan lima peratus iaitu sekali ganda daripada bilangan sedia ada," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Usahawan Antarabangsa di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Dahlan Ismail dan Pengarah Seminar Usahawan Antarabangsa, Dr Mohd Azlan Yahya.

Seramai 180 peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan universiti tempatan, Indonesia, Thailand, Arab Saudi dan Jordan menghadiri seminar tiga hari anjuran UUM itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin berkata golongan mahasiswa dan mahasiswi perlu didedahkan dengan asas keusahawanan bagi melahirkan graduan yang berminat untuk menjadikan perniagaan sebagai kerjaya.

"Mahasiswa perlu memiliki pemikiran baru dan tidak hanya bergantung kepada bidang pekerjaan profesional mengikut kursus diambil di universiti sebaliknya perlu bijak mencari peluang perniagaan menggunakan pengetahuan yang ada.

"Bidang keusahawanan sangat luas dan perlu diterokai oleh mereka, ia memerlukan keberanian untuk mencuba menceburi bidang keusahawanan ini yang pastinya mendatangkan keuntungan yang lumayan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tenaga pengajar di universiti perlu memupuk sikap baru kepada pelajar supaya berfikiran lebih terbuka dan bersedia menterjemah pengetahuan yang diperoleh kepada pelbagai bidang perniagaan.

(Sumber dari Berita Harian, 01/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...