Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
LULUSAN PhD diperlukan negara untuk membangunkan ekonomi berasaskan inovasi.
Negara perlu 60,000 lulusan PhD untuk bangun ekonomi berasas pengetahuan, inovasi
BAGI membangun ekonomi berasas pengetahuan dan inovasi, negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).
Ciri seperti berkeupayaan menganalisis dan membuat penilaian terhadap sesuatu isu, menghasilkan idea bernas, berkebolehan mereka cipta bahan, proses, sistem atau produk baru serta menyumbang kepada gedung ilmu antara faktor membolehkan lulusan PhD memacu ekonomi inovasi.
Malangnya ketika ini, jumlah tenaga kerja di negara ini yang memiliki kelayakan berkenaan hanya sekitar 12,000, sekali gus menimbulkan persoalan mampukah mereka memberi impak kepada agenda transformasi ekonomi berkenaan.
Jumlah itu jauh lebih kecil dengan nisbah 23 penyelidik, saintis serta jurutera (RSE) bagi setiap 10,000 tenaga kerja berbanding negara seperti Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang mencapai nisbah lebih 70:10,000.
Usaha meningkatkan nisbah kepada 50 RSE:10,000 tenaga kerja kini giat dijalankan menerusi pelbagai inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi termasuk agenda khusus seperti MyBrain15, program universiti Apex serta universiti penyelidikan sejajar Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
Persoalannya, ke mana mereka selepas mendapat PhD? Kekal berkhidmat dalam negara atau berhijrah ke negara lain yang menawarkan ganjaran serta persekitaran lebih kondusif untuk pembangunan profesionalisme mereka.
Di kalangan pemegang PhD tempatan, kebanyakan mereka memilih untuk kekal berkhidmat dalam negara, hanya sebilangan kecil berhijrah ke negara lain kerana faktor keluarga dan mencari pengalaman.
Difahamkan isunya ketika ini ramai pemegang PhD antarabangsa yang mendapat kelayakan tertinggi akademik itu di Malaysia, tetapi memilih untuk berkhidmat di negara lain terutama negara jiran, Singapura.
Senario ini bukan saja menjejas usaha kerajaan melakukan transformasi ekonomi, malah boleh disifatkan satu kerugian kerana pelbagai pelaburan dibuat bagi membangunkan modal insan antarabangsa tetapi negara lain pula dikatakan sewenang-wenang menuai hasilnya.
Seorang pemegang PhD warga Indonesia di salah sebuah universiti perdana negara yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di universiti sama berkata, ramai rakannya mendapat kelayakan itu di negara ini tetapi memilih untuk berkhidmat di Singapura.
Tiga faktor, katanya, menjadi daya penarik untuk berkhidmat di Kota Singa itu, iaitu kemudahan lengkap dan terkini, gaji tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di Malaysia serta polisi imigresen yang lebih mesra ekspatriat.
“Bagi penyelidik serta saintis, penyediaan infrastruktur terkini memudahkan kajian mereka adalah keutamaan dan Singapura terbukti berupaya menawarkan aspek ini.
“Gaji mencecah belasan dan puluhan ribu sebulan serta syarat mudah mendapat status penduduk tetap (PR), iaitu memiliki kelayakan sarjana dan bekerja minimum enam bulan turut menjadi faktor pendorong ramai pemegang PhD antarabangsa membangun kerjaya mereka di negara itu,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau yang baru setahun berkhidmat di sini dan sedang menunggu keputusan permohonan status PR tidak menolak kemungkinan kembali ke Indonesia atau berhijrah ke Singapura jika gagal mendapat status berkenaan.
“Baru-baru ini, rakan warga United Kingdom yang berkahwin dengan pensyarah Malaysia dan mempunyai kelayakan PhD dari Universiti Oxford dimaklumkan gagal dalam permohonan status PR tanpa diberi sebarang alasan.
“Jika nasib sama menimpa, kemungkinan besar saya akan balik ke Indonesia atau berhijrah ke Singapura seperti rakan lain kerana visa bekerja di sini hanya boleh diperbaharui lima kali saja, iaitu maksimum 10 tahun,” katanya.
Sementara itu, lulusan PhD warga Amerika Syarikat yang kini masuk tahun keempat berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti perdana kecewa dengan birokrasi sistem pentadbiran hingga mengekang kebebasan akademik dan pembangunan potensi pemegang kelayakan itu.
Katanya, prosedur menyusahkan seperti terlampau banyak borang perlu diisi bagi melaksanakan sesuatu penyelidikan serta perubahan kurikulum pengajian yang memerlukan kelulusan pelbagai peringkat hingga ke kementerian melambatkan pembangunan profesionalisme pemegang PhD.
“Birokrasi sistem universiti adalah perkara utama perlu dihapuskan dan diganti dengan sistem berciri memudahkan serta lebih autonomi bagi menyemarak budaya inovasi dan mewujudkan suasana kerja lebih kondusif bagi penyelidik termasuk dari luar negara.
“Ramai lulusan PhD luar negara berminat berkhidmat di negara ini tetapi jika mereka menghadapi kekangan birokrasi seperti ini, saya tidak pasti sama ada mereka masih mahu meneruskan perkhidmatan atau tidak,” katanya ketika ditemui.
Sebagai pemegang kelayakan akademik tertinggi, beliau berkata, seharusnya lulusan PhD dilayan seperti profesional dan diberi kebebasan melakukan penyelidikan atau inisiatif sejajar visi dan misi universiti, selain sokongan serta sumber diperlukan.
Turut menjadi kebimbangan beliau adalah permohonan mendapatkan status PR kerana ramai rakannya yang lama memohon belum mendapat jawapan hingga ada antaranya menggunakan ‘saluran belakang’ untuk memastikannya.
“Saya belum membuat permohonan status PR kerana universiti menyambung kontrak tiga tahun lagi membolehkan saya memperbaharui visa bekerja.
“Namun, keputusan untuk kekal berkhidmat di sini masih menjadi persoalan besar kerana kesukaran mendapat status itu, walaupun isteri saya warga Malaysia,” katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 07/09/2009)
Label:
Malaysiaku
Khamis, 11 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan