Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | Sijil khas Tahun Enam

Sijil khas Tahun Enam
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/10/13
Sekolah keluar pentaksiran lisan bagi Bahasa Melayu dan Inggeris

KUALA LUMPUR: Mulai tahun ini, sekolah dibenar mengeluarkan sijil khas Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) bagi Bahasa Melayu dan Inggeris kepada murid Tahun Enam yang boleh dijadikan dokumen sokongan, termasuk untuk permohonan memasuki Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Berdasarkan panduan yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), sijil itu mencatat pencapaian murid dalam PLBS Bahasa Melayu dan Inggeris bagi empat kategori, iaitu tatabahasa dan kosa kata; sebutan, intonasi dan nada; fasih dan bermakna serta bertatasusila mengikut penggredan A, B, C, D atau E.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Saint Thomas, Kuantan, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata mengikut panduan LPM yang diterima pihaknya, baru-baru ini, sijil itu boleh diberi secara berasingan bagi pentaksiran lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris atau digabungkan keputusan kedua-duanya dalam satu dokumen sama.

Beliau berkata, sekolah juga boleh menggunakan logo masing-masing dengan dokumen itu ditandatangani guru subjek serta guru besar sebagai pengesahan.

Katanya, pentaksiran itu dibuat secara kumulatif dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam di mana guru membuat penilaian secara berterusan ketika proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk melalui kaedah pemerhatian, soal jawab serta tugasan yang bukan dalam bentuk ujian.

“Pengiktirafan kepada pihak sekolah untuk mengeluarkan sijil itu selaras dengan komitmen Kementerian Pelajaran terhadap hala tuju penambahbaikan UPSR di mana 40 peratus penilaian terhadap murid akan dibuat berasaskan sekolah menjelang 2016.
“Ini juga membuktikan kementerian memperakui keupayaan sekolah melaksanakan pentaksiran yang menepati garis panduan serta piawaian ditetapkan LPM,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Mohamed Sabri berkata, sijil khas itu bukan saja sesuatu perakuan yang bermakna kepada murid dan ibu bapa, malah boleh digunakan oleh guru subjek bahasa di sekolah menengah sebagai panduan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar berkenaan dalam penguasaan lisan Bahasa Melayu serta Inggeris.

Bagaimanapun, sekolah yang tidak mampu menampung kos pengeluaran sijil khas itu, boleh mencatat keputusan pentaksiran lisan dua subjek berkenaan dalam buku rekod pencapaian pelajar.

PLBS diperkenalkan pada 2003 sebagai sistem penilaian bagi menentukan tahap penguasaan lisan dwibahasa murid di seluruh negara bertujuan membina kemahiran dan keyakinan mereka dalam berkomunikasi secara berkesan.

Sementara itu, Mohamed Sabri berkata, pihak sekolah juga sudah menerima arahan Kementerian Pelajaran untuk mencalonkan guru Tahun Satu bagi mengikuti kursus Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

“Latihan itu sebagai persiapan pelaksanaan program pentaksiran terhadap murid Tahun Satu mulai tahun depan,” 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...