Selasa, 5 Oktober 2010

Berita Harian Online | Pekerja separa masa terbela


Pekerja separa masa terbela
Oleh Magendran Rajagopal dan Syuhada Choo Abdullah

2010/09/30


6.8 juta penduduk boleh bekerja dengan perlindungan penuh mulai esok

PUTRAJAYA: Mulai esok, 6.8 juta penduduk negara ini, termasuk 700,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikategorikan sebagai tenaga kerja terpendam, boleh bekerja separa masa dengan menikmati perlindungan dan insentif seperti pekerja sepenuh masa, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Ini berikutan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 yang antara lain membolehkan pekerja separa masa mencarum dalam PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menikmati cuti umum, cuti tahunan, cuti sakit, hari rehat serta bayaran kerja lebih masa.
Peraturan itu juga membolehkan kakitangan awam bekerja separa masa selepas waktu kerja mengikut Peraturan 5, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002, tetapi perlu mendapat kebenaran bertulis ketua jabatan.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata peraturan itu diperkenalkan bagi menggalakkan tenaga kerja terpendam, seperti suri rumah, ibu tunggal, pelajar IPT, pesara dan orang kurang upaya (OKU) bekerja separa masa mengikut kelapangan masing-masing, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah.

Mengikut peraturan itu, pekerja separa masa didefinisikan sebagai mereka yang bekerja dengan jumlah waktu kerja lebih 30 peratus sehingga 70 peratus daripada waktu kerja biasa pekerja sepenuh masa. Sekiranya kurang daripada had minimum itu, mereka dianggap sebagai pekerja sambilan, manakala melebihi 70 peratus ditakrifkan pekerja tetap.

Sebagai contoh, sekiranya waktu kerja biasa pekerja sepenuh masa adalah lapan jam sehari, maka waktu kerja pekerja separa masa adalah antara 2.4 jam hingga 5.6 jam sehari.

Bagaimanapun, pekerja separa masa tidak meliputi pekerja yang bekerja dari rumah, termasuk pembantu rumah atau secara teleworking. Pekerja separa masa juga tidak layak mendapat bayaran faedah penamatan kerja dan elaun cuti bersalin, tetapi layak untuk cuti bersalin. 
Pada sidang media di sini, semalam, Dr Subramaniam berkata, dengan pelaksanaan peraturan itu, wanita berkelayakan tinggi yang memilih untuk menjadi suri rumah kerana tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, kini boleh bekerja separa masa sebagai alternatif.

Katanya, 700,000 pelajar IPT juga mampu menjadi tenaga kerja separa masa yang bernilai kepada negara, selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai etika kerja serta memudahkan penyesuaian di alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

Majikan pula, katanya, dapat menjimatkan perbelanjaan kerana bayaran gaji dibuat pro-rata berdasarkan tempoh masa bekerja, selain dikecualikan daripada caruman di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 untuk pekerja separa masa.

Dr Subramaniam menjelaskan, majikan dan pekerja separa masa boleh berunding bagi menentukan sama ada perkiraan tempoh kerja dilakukan secara harian, mingguan atau bulanan.

Beliau juga menjelaskan, pekerja separa masa merangkumi mereka yang bekerja sekali-sekala atau tidak tetap, hanya apabila diperlukan dan masa kerjanya dalam seminggu tidak melebihi 30 peratus daripada masa kerja pekerja tetap.

Dari segi usia pula, hanya mereka berusia 18 tahun ke atas boleh bekerja secara sah dan mereka berusia antara 15 hingga 18 tahun dianggap individu muda yang dibenar melakukan kerja tertentu saja manakala yang berusia 15 tahun ke bawah ditakrifkan sebagai kanak-kanak dan tidak boleh diambil bekerja. 

Majikan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) dan bersabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu kesalahan.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...