Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | Najib saran prasarana kewangan dirombak

Najib saran prasarana kewangan dirombak
Daripada Mahfar Ali di Brussels, Belgium

2010/10/05

image

NAJIB (empat dari kanan) menjawab soalan penggiat industri Eropah ketika pertemuan kumpulan itu di hotel penginapannya Brussels, semalam.

Elak berulang krisis global dalam keadaan ekonomi tak menentu

DATUK Seri Najib Razak menegaskan mengenai pentingnya prasarana kewangan antarabangsa dirombak secara menyeluruh untuk mengelak berulangnya krisis global dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Perdana Menteri berkata, pengajaran sebelum ini menuntut dunia mewujudkan peraturan dan kawalan selia lebih ketat untuk mencegah krisis yang akan menyebabkan kejatuhan bank dan institusi kewangan hingga memberi kesan terhadap kestabilan sistem kewangan global.
“Perkara ini perlulah diberi perhatian kerana kita tidak mampu untuk melihat berlaku krisis yang menyebabkan mana-mana institusi kewangan atau krisis hutang negara yang boleh membantutkan pemulihan ekonomi dunia dan mengakibatkan kemelesetan yang sangat teruk,” katanya.
Bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum menyertai sesi plenari pertama Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Kelapan di Brussels, Belgium, Najib juga menegaskan mengenai kepentingan perdagangan bebas dan saksama diusahakan untuk mengelak sebarang bentuk perlindungan sama ada secara terang atau tidak langsung.

Perdana Menteri berkata, perdagangan lebih adil seharusnya bebas daripada dasar perlindungan, manakala tadbir urus lebih efektif akan mewujudkan pembangunan yang seimbang dan merangsang pemulihan ekonomi global.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kuala Lumpur bersetuju supaya perjanjian perdagangan bebas pada peringkat serantau dan dua hala diteruskan kerana ia dapat membantu negara seperti Malaysia.

“Apa yang kita lakukan secara kolektif akan lebih berkesan daripada kita melakukannya secara berasingan,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan pada sesi plenari pertama sidang dua hari itu, Perdana Menteri, berkata ASEM yang ditubuhkan pada 1996 perlu melakar wawasan baru dan menarik bagi merealisasikan matlamat penubuhannya.

Beliau berkata, ASEM perlu menerima hakikat bahawa ekonomi dunia sudah beralih ke pasaran yang sedang berkembang pesat.

“Selaras dengan aliran ini, kita perlu mempercepatkan pembaharuan institusi multilateral bagi mencerminkan realiti  baru ini,” katanya.

Berita Harian Online | Najib saran prasarana kewangan dirombak

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...