Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | Bajet 2011 dijangka tumpu insentif pelabur domestik

Bajet 2011 dijangka tumpu insentif pelabur domestik

2010/10/14
BAJET 2011 yang akan dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat ini dijangka menawarkan lebih banyak insentif khusus bagi merangsang pelaburan domestik bagi mengimbangi insentif diberikan kepada pelabur asing.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata sejak kebelakangan ini pihaknya menerima banyak rungutan mengenai insentif berlebihan ditawarkan untuk menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Katanya, cadangan utama dikemukakan kementeriannya bagi Bajet 2011 adalah tumpuan perlu diberikan kepada pelaburan langsung domestik (DDI).
“Kementerian berpendapat perlu ada keseimbangan antara FDI dan DDI dan insentif ditawarkan harus mengambil kira kepentingan kedua-duanya.

“Kita tak mahu membezakan antara kedua-duanya. Pelabur domestik adalah daripada rakyat tempatan dan kita mahu mereka melabur dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) 2010 oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengerusi MATRADE, Datuk Mah Siew Keong.
Mukhriz berkata, keseimbangan dasar boleh membantu kerajaan mencapai mencapai nisbah 50:50 dalam pelaburan asing dan domestik berbanding 70:30 sekarang.

Beliau turut menggesa syarikat Malaysia meneroka secara agresif peluang di pasaran baru yang sedang pesat berkembang kerana pasaran terbabit sudah menunjukkan potensi pertumbuhan sejak lima tahun lalu.

“Pasaran baru akan membantu meningkatkan prestasi perdagangan Malaysia selain pasaran tradisi China, Eropah dan Amerika syarikat (AS).

Mukhriz berkata, Bajet 2011 yang antara lain menjadi pencetus pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) membuka peluang pelaburan kepada pelabur asing.

"Dengan 131 projek permulaan di bawah ETP, sudah pastinya ia menarik bagi syarikat asing untuk melabur. Saya yakin pada awal tahun depan, kita akan menyaksikan lebih banyak syarikat asing menimbang dengan serius melabur di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, syarikat tempatan pula perlu terus meneroka pasaran baru seperti Afrika, Asia Barat, Amerika Selatan dan Eropah Timur untuk memanfaatkan peningkatan kuasa beli pengguna di rantau berkenaan.

"Mustahak untuk bermula lebih awal di pasaran membangun baru. Ia membolehkan kita memperoleh pelaburan yang baik. Sebagai contoh, perlombongan dan galian, sesetengah negara Afrika mempunyai simpanan galian bernilai yang amat besar," jelasnya.

Mengenai MTCP 2010, beliau berkata, program itu akan membina hubungan perniagaan baru dan mengukuhkan hubungan yang telah terjalin antara komuniti perniagaan Malaysia dan dewan perniagaan dari semua negara yang menyertainya.

Program yang bermula kelmarin yang diadakan mulai 12 hingga 21 Oktober ini adalah yang kelima dianjurkan MATRADE.

Menerusi program itu, MATRADE berkongsi pengalamannya dalam promosi perdagangan dengan lebih 157 peserta dari lebih 35 negara.

MTCP 2010 menyaksikan penyertaan 16 peserta dari 16 negara seperti China, India, Indonesia, Jamaica, Kenya, 
Kyrgystan, Myanmar, Nigeria, Arab Saudi, Tanzania, Uganda, Uzbekistan, Vietnam, Yaman dan Zimbabwe.

Berita Harian Online | Bajet 2011 dijangka tumpu insentif pelabur domestik

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...