Khamis, 28 Oktober 2010

Berita Harian Online | Projek Warisan Merdeka tak guna wang kerajaan

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/10/21

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjelaskan projek Warisan Merdeka yang merangkumi menara 100 tingkat yang akan dibangunkan di ibu negara, tidak menggunakan wang kerajaan atau dana pelaburan saham amanah yang diuruskannya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB akan membangunkan projek itu menggunakan dananya sendiri atau mendapatkan pinjaman bank jika kadar faedah menarik, selain menjana dana di pasaran modal.
 
“Dana bagi tujuan membangunkan projek ini adalah daripada portfolio yang berlainan. Ia adalah daripada keuntungan operasi kami sejak 30 tahun lalu. Ia tiada kaitan dengan dana saham amanah bernilai RM115 bilion yang diuruskan PNB,” katanya pada taklimat mengenai projek Warisan Merdeka kepada editor kanan media di sini, semalam.
Penjelasan itu diberi berikutan kritikan beberapa pihak, terutama pembangkang yang mendakwa projek bersepadu bernilai RM5 bilion itu membazirkan wang rakyat.

Projek itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2011, Jumaat lalu, akan dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara untuk tempoh 10 tahun. Kedua-dua stadium itu akan dikekalkan dan dipelihara sebagai bangunan warisan.

Hamad Kama Piah menjelaskan projek yang menempatkan bangunan tertinggi di Malaysia itu, akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures.

Beliau berkata, PNB seperti syarikat pengurus dana lain yang beroperasi di Malaysia juga tertakluk kepada peraturan ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam aspek pelaburan dan penggunaan dana yang diuruskannya.
Justeru, katanya, PNB tidak boleh menggunakan dana yang diuruskannya dengan sewenang-wenangnya bagi tujuan yang tiada kaitan dengan portfolio pelaburan yang dibenarkan.

“PNB berada di bawah kawal selia SC. Kami tidak boleh menggunakan wang pelaburan orang ramai bernilai lebih RM150 bilion itu untuk tujuan lain. Peraturan tetap peraturan,” katanya.

Hamad Kama Piah berkata, lembaga pengarah PNB mula berbincang untuk membangunkan projek pembangunan hartanah berhampiran Stadium Merdeka dan Stadium Negara itu sejak 2004 selepas PNB membeli tanah di kawasan berkenaan daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd pada 2000 membabitkan kos RM310 juta.

“Hanya baru sekarang kami dapat memulakan projek ini,” katanya sambil menjelaskan pembelian tanah di kawasan itu bertujuan mempelbagaikan portfolio pelaburan PNB dan meningkatkan nilai asetnya.

Ketika tanah itu dibeli, hartanah di kawasan itu bernilai sekitar RM220 kaki persegi dan kini dianggarkan mencecah kira-kira RM800 kaki persegi.

Beliau berkata, projek Warisan Merdeka bukan sekadar mengandungi bangunan tertinggi di Malaysia, tetapi turut membabitkan pembinaan hotel, kompleks beli-belah dan kondominium.

“Bagaimanapun, kami akan membina menara 100 tingkat terlebih dulu supaya ia dapat menjadi tarikan bagi pembangunan komersial lain seperti hotel, kondominium dan pusat membeli-belah,” katanya.

Kos pembinaan menara 100 tingkat berkonsep bangunan pintar mesra alam itu dianggar antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion dengan pembinaannya dijangka dimulakan tahun depan dan siap menjelang 2015.

Tidak termasuk kedua-dua stadium itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB mempunyai tanah seluas 7.6 hektar bagi pembangunan projek itu yang akan dibangunkan dalam tiga fasa untuk disiapkan sepenuhnya pada 2020.

“Ia akan menjadi sebuah projek yang menggabungkan warisan dan perniagaan,” katanya.

PNB, katanya, juga akan melantik syarikat perunding bagi mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan pembangunan itu tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya yang mana kosnya adalah termasuk dalam kos keseluruhan projek.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...