Khamis, 14 Oktober 2010

Berita Harian Online | Nisbah perbelanjaan fiskal dijangka kekal

Nisbah perbelanjaan fiskal dijangka kekal

2010/10/13
BAJET 2011 yang bakal dibentangkan Jumaat ini dijangka menarik kerana ia adalah yang pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Ahli Ekonomi OCBC Bank, Gundy Cahyadi.

Beliau juga berkata, tumpuan kini ialah kepada bagaimana kerajaan akan memulakan Model Baru Ekonomi (MEB).
Katanya, pemulihan ekonomi yang dilihat pada 2010 ini telah menyediakan asas untuk pengukuhan fiskal seterusnya oleh kerajaan, sejajar dengan sasaran mengurangkan defisit bajet kepada 2.8 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2015.
“Kami menjangkakan Malaysia akan terus menyaksikan nisbah perbelanjaan fiskalnya kekal antara yang paling tinggi di rantau ini, sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang. Ini terutama kerana kerajaan dijangka memasukkan sebahagian besar daripada perbelanjaan infrastruktur yang diperuntukkan untuk RMK-10.

“Bagaimanapun, pengukuhan fiskal akan dapat dilihat, sebahagiannya hasil daripada jangkaan pendapatan minyak dan gas untuk kerajaan yang lebih tinggi.

“Selepas mencecah tujuh peratus daripada nilai KDNK pada 2009, kami menjangkakan defisit fiskal akan susut kepada antara 5-5.2 peratus pada 2011, berdasarkan unjuran kami sebanyak 5.4 peratus dalam pertumbuhan tahun depan," katanya.

Gundy berkata, beliau menjangkakan Bajet 2011 akan memasukkan geran khas dan insentif untuk aktiviti pembuatan bernilai tinggi, termasuk sektor tenaga hijau, dan untuk usaha merangsang modal insan/pengetahuan teknikal menerusi latihan atau pendidikan tinggi.
"Ini akan merangsang aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan industri baru.

"Sementara itu, perbelanjaan fiskal yang dirancang untuk MRT Greater KL dan sistem rel berkelajuan tinggi, dijangka mencecah kira-kira RM50 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Kami menjangkakan kerajaan akan memulakan projek utama, dari 2011, walaupun belum dapat dipastikan jumlah yang akan dibentangkan dalam cadangan Bajet 2011," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membantu merangsang asas pendapatan kerajaan, tetapi katanya cakap-cakap mengenai pelaksanaannya sudah berkurangan sejak kebelakangan ini.

"Kami hanya melihat peluang kecil GST akan diperkenalkan pada 2011, seperti yang dirancang sebelum ini," kata ahli ekonomi itu.

Gundy juga berkata Projek Transformasi Ekonomi (ETP) dijangka tidak membawa peningkatan pulangan yang ketara, terutama pada peringkat awal memandangkan kerajaan juga mahu memberi tumpuan terhadap projek berskala besar pada 2011.

Beliau juga menjangkakan cukai eksais yang lebih tinggi untuk rokok dan produk tembakau, walaupun pendapatan tambahan daripadanya dijangka tidak ketara.

Mengenai subsidi, Gundy berpendapat kerajaan dijangka tidak mengumumkan sebarang pembatalan subsidi dalam 
Bajet 2011 terutama dengan wujudnya keraguan mengenai kemampanan pemulihan ekonomi tahun ini. – BERNAMA

Berita Harian Online | Nisbah perbelanjaan fiskal dijangka kekal

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...