Isnin, 4 Oktober 2010

Berita Harian Online | Kesederhanaan dapat imbangi fardu ain, kifayah

Kesederhanaan dapat imbangi fardu ain, kifayah
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

2010/09/30
Umat Islam tidak patut abai tanggungjawab terhadap masyarakat

KESEDERHANAAN atau wasatiah satu daripada ciri khusus keistimewaan agama Islam. Sederhana selalunya merujuk kepada satu keadaan yang tidak lebih dan tidak kurang, keadaan biasa dan sedang.

Kesederhanaan juga merujuk kepada makna meletakkan sesuatu pada tempatnya ataupun memberikan sesuatu yang berhak kepada pemiliknya yang disebut sebagai adil.

Bagaimanapun, ada satu lagi perkataan bahasa Arab, at-tawazun yang bermakna seimbang antara dua pihak iaitu melampau dalam sesuatu tindakan dan yang mempermudah-mudahkan sesuatu perkara.
Agenda Gerakan Kesederhanaan Sejagat yang diseru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan sulung pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-65 di New York menepati panduan agama demi mengembalikan keamanan pragmatik dan menghapuskan ekstremis.

Islam sangat menekankan soal kesederhanaan kerana ia bukti atau tanda kekuatan dan toleransi umat Islam. Umat Islam sederhana dalam tindak-tanduk dan perbuatan serta gaya hidup bukan bermaksud umat cukup dengan apa yang ada.

Sebaliknya, diukur daripada aspek kejayaan, mereka yang sederhana ialah yang cemerlang, sedangkan lebih daripada itu ialah gemilang dan unggul.

Firman Allah yang bermaksud: Begitulah Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia. (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Umat Islam yang positif kepada kesederhanaan juga cintakan keamanan. Dengan erti kata lain, umat sederhana bencikan kekacauan serta kerosakan dan kesederhanaan adalah lambang kekuatan.

Melalui kesederhanaan juga, fitrah manusia dapat dipenuhi dan dibentuk dengan baik berdasarkan sahabat Rasulullah SAW (yang mempunyai kecenderungan masing-masing) berjumpa isteri Baginda bertanyakan amalan Baginda.

Seorang daripada mereka memberitahu bahawa dia asyik berpuasa dan tidak berbuka. Seorang lagi menyatakan dia asyik mengerjakan solat sunat pada waktu malam tanpa tidur, manakala seorang lagi mendedahkan bahawa dia tidak berkahwin.

Apabila sampai cerita itu kepada Rasulullah SAW, Baginda menegaskan dirinya berkahwin, mengerjakan solat sunat pada waktu malam tetapi tetap merehatkan badan dengan tidur, berpuasa pada siang tetapi berbuka apabila sampai waktunya dan Baginda yang paling bertakwa.

Tegas Baginda, kesederhanaan penting bagi mengimbangi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah demi kebaikan dunia serta akhirat sejajar firman Allah yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Anugerahkan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Islam menuntut umatnya bersederhana dalam pelbagai aspek seperti ibadat kerana kesederhanaan terserlah apabila umat Islam mengerjakan ibadah tetapi tidak lupa tanggungjawabnya kepada masyarakat.

Justeru, bolehlah dikatakan bahawa kesederhanaan Islam dalam urusan ibadat terletak antara amalan penganut yang hanya mementingkan kerohanian semata-mata dan penganut yang menolak aspek kerohanian seluruhnya.

Dalam aspek kesihatan dan keterampilan pula, Islam menggalakkan umatnya bersederhana dari segi pemakanan, cara pakaian dan corak perbelanjaan.

Allah berfirman yang bermaksud: Wahai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid. Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf, ayat 31)

Dalam urusan dakwah, umat Islam dikehendaki bersederhana tetapi tidaklah bermakna pendakwah menggadaikan prinsip Islam ketika mengajak golongan sasaran kepada Islam. Ia lebih kepada pendekatan dan cara pendakwah mendekati golongan sasaran supaya mereka faham dan mengikuti ajaran Islam.

Pendekatan itu terangkum dalam firman Allah yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah, membawa pengajaran baik dan berdebatlah dengan mereka menggunakan pendekatan yang baik. Orang sederhana ialah orang yang berada antara dua pihak, iaitu pihak yang melampau dengan pihak mempermudah-mudahkan sesuatu urusan. (Surah an-Nahl, ayat 125)

Walaupun cabaran penting dalam komoditi antarabangsa ialah memastikan keadilan, kesamarataan dan keamanan berkekalan, ia bukan sesuatu yang luar biasa jika semua pihak bersedia berbincang menerusi dialog yang akan membantu mewujudkan kefahaman dan persefahaman ke arah membina masa depan lebih cemerlang untuk penduduk dunia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini
melanjutkan pelajaran di United Kingdom

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...