Khamis, 28 Oktober 2010

Berita Harian Online | Julang ekonomi Melayu

Julang ekonomi Melayu


2010/10/23

image

Bentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera; Jadikan agenda pembangunan luar bandar program wajib

KUALA LUMPUR: Perbahasan usul ekonomi pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 semalam mahu kerajaan mengambil langkah lebih agresif bagi menjulang ekonomi orang Melayu termasuk membentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera (PIPB).

Ini sebagai panduan pelaksanaan dasar serta memastikan pemantauan dan penyelarasan agenda Bumiputera, terutama dalam bidang ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan serta mencapai sasaran.
 
Ketika membentangkan usul ekonomi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata PIPB perlu dijadikan dasar membangunkan Bumiputera dalam pelbagai bidang dan memastikan urusan mengukur tanda aras dan sasaran pencapaian Bumiputera dilaksanakan secara lebih sistematik sambil dipantau Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO berkata, usaha itu juga akan dapat memastikan Bumiputera mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) tanpa sebarang halangan.

Kita berharap dengan pengawasan rasmi MTAB terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi dapat ditransformasi menjadi ekonomi moden dan kompetitif, selaras MBE yang inklusif, katanya.

Usul ekonomi itu kemudian disokong wakil Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan dibahaskan wakil UMNO negeri serta sayap parti sebelum diluluskan.
Sebelum itu, perwakilan turut meluluskan usul ucapan dasar Presiden selepas sesi perbahasan bersambung awal pagi semalam dengan enam lagi wakil UMNO negeri, termasuk wakil Puteri UMNO serta wakil Kelab UMNO mengambil bahagian.

Razali ketika menyokong usul ekonomi berkata, penubuhan MTAB yang menetapkan 30 peratus KPI untuk sesiapa yang menganggotainya bagi memastikan pemilikan ekonomi Melayu dan Bumiputera tercapai, adalah tepat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggariskan tiga syor, termasuk mewujudkan Inisiatif Perkongsian Tulen dengan memilih individu, syarikat, kesatuan atau Bumiputera yang layak untuk mewakili Melayu.

Namun, beliau mencadangkan MTAB diasingkan daripada agensi kerajaan supaya tidak mengulangi kesalahan lalu seperti penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dinikmati pihak lain.

Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, katanya.

Sementara itu, wakil Wanita UMNO, Sharifah Azizah Syed Zin, berkata berdasarkan komposisi kaum, kuota ekuiti Bumiputera sepatutnya dinaikkan sehingga 60 peratus dan tidak boleh dipertikaikan kaum lain berikutan kuota 30 peratus yang ditetapkan belum mencapai sasaran.

Wakil UMNO Johor, Ayub Jamil, pula mendesak kerajaan supaya segera melakukan tindakan susulan ke atas semua rancangan membangunkan ekonomi Melayu kerana ketika ini sudah wujud anggapan parti terbesar Melayu itu hanya hebat pada dokumen, tetapi gagal melaksanakannya.

Wakil UMNO Pahang, Suhaimi Sulong, berkata pelan induk itu dan MTAB seharusnya memantau program berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad, berkata masyarakat luar bandar perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...